fbpx

Penjawat awam tidak mengaku salah pecahkan cermin kereta, ugut wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nasir dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk didakwa atas dua pertuduhan hari ini.

KOTA BHARU – Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengugut seorang wanita dan memecahkan cermin keretanya di persimpangan lampu isyarat Limbat, Kubang Kerian di sini minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Nasir Husain, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mendatangkan ketakutan kepada Wan Nur Athirah Wan Kamal, 35, dengan mengetuk cermin kereta mangsa menggunakan senjata tajam iaitu pengikis atau ‘scapper’ sehingga berlubang dan retak.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mohd. Nasir turut didakwa melakukan khianat terhadap harta milik wanita sama dengan memecahkan cermin sebelah pemandu kereta jenis Perodua Axia menggunakan sebatang scapper sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM300.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman tidak lebih daripada setahun sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan olehnya di persimpangan lampu isyarat Limbat, Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 5.45 petang pada 28 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya, Siti Erdabayu Subhan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK), Ariayani Mohd. Aamin.

Terdahulu, Siti Erdabayu memohon jaminan setimpal dikenakan terhadap tertuduh atas pertuduhan yang dihadapinya.

Ariayani dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah kerana Mohd. Nasir yang bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan selain menetapkan 15 September depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, suspek yang dipercayai memecahkan cermin kereta dan mengugut seorang wanita dalam kejadian di simpang empat Limbat di sini pada Khamis lalu ditahan selepas tiga hari diburu polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI