fbpx

28 lelaki, penjawat awam dicekup judi laga ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
28 lelaki termasuk dua penjawat awam bermain judi laga ayam dicekup di Taman Seri Duyong Seksyen 2, di sini, semalam.

MELAKA – Keghairahan sekumpulan 28 lelaki termasuk dua penjawat awam bermain judi laga ayam membawa padah apabila dicekup di Taman Seri Duyong Seksyen 2, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.45 pagi itu, kesemua suspek berusia antara 35 hingga 56 tahun itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika serbuan dilakukan kesemua suspek bertindak melarikan diri dan meninggalkan peralatan termasuk ayam bagi mengelak dicekup polis.

Katanya, kawasan itu bagaimanapun telah dikepung pihak polis dan kesemua yang terlibat berjaya diberkas.

“Mengikut maklumat diberikan, kegiatan ini telah berlangsung sejak lima bulan lalu dan diadakan pada setiap hujung minggu pertama serta keempat pada pukul 10 malam sehingga 4 pagi mengikut kepada permintaan setempat.

“Jumlah tertinggi judi mencecah RM550 untuk sekali pertaruhan dan paling rendah adalah RM110,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, rata-rata peserta bagaimanapun akan meletakkan wang taruhan sebanyak RM220.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam serbuan itu pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM11,000 dan peralatan yang digunakan bagi kegiatan judi termasuk enam ayam jantan hidup, tiga sangkar dan kotak tempat simpan ayam.

“Selain itu, kita sita gelanggang getah, dua jam, enam unit taji ayam tiruan, tiga lampu dan masing-masing satu lampu kalimantang, kerusi serta bangkai ayam jantan.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 3 (1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962,” katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor usia dan kesihatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI