fbpx

Penganggur ditahan miliki pistol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol serta tiga butir peluru dan kelongsong di Taman Ria Jaya di sini petang semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu diberkas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di tepi bangunan kedai di taman perumahan itu pada pukul 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejayaan itu hasil maklumat dan risikan berkaitan penglibatan suspek dalam kegiatan tidak sihat.

“Pasukan kita yang membuat intipan di Taman Ria Jaya menemui lelaki itu dalam keadaan mencurigakan dan selepas menyedari kehadiran polis dia cuba melarikan diri.

“Suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan menemui sepucuk pistol jenis Colts-Pt.F.A (Spec .38 Special Ctg.) berwarna hitam buatan Amerika Syarikat, tiga butir peluru dan tiga kelongsong peluru,” katanya di sini hari ini.

Kata Zaidy, semakan rekod lampau mendapati lelaki itu mempunyai 14 rekod berkaitan dadah serta jenayah samun, curi, pecah rumah, menceroboh serta kesalahan berkaitan Akta Pemulihan Dadah (APD) termasuk dikehendaki kerana melarikan diri daripada pusat pemulihan dadah.

“Kita akan membuat siasatan menyeluruh untuk mengetahui sama ada lelaki terbabit terlibat dalam kejadian menembak mati seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Jalan Kampung Baru di sini pada 25 Mei lalu,” ujarnya.

Tambahnya, suspek yang tidak bekerja dan menetap di Taman Sejati di sini itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Dia direman selama lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI