BALING – Laluan air dari Gunung Inas ke Sungai Kupang di sini yang semakin besar selain tiada sekatan dipercayai menjadi punca kejadian arus deras dan banjir kilat di Kupang kelmarin.
Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee berkata, kejadian kepala air yang berlaku pada 4 Julai lalu telah menyebabkan laluan air menjadi semakin besar.
Kejadian bencana alam terburuk itu juga menyebabkan tiada lagi sekatan seperti batu dan pokok besar untuk menghalang aliran air tersebut.
“Keadaan ini menyebabkan kelajuan air menjadi semakin deras berbanding biasa dan berkemungkinan mengundang musibah lebih teruk pada masa akan datang.
“Selain itu, terdapat juga kemungkinan wujudnya lopak-lopak air baharu sehingga menyebabkan pertambahan jumlah takungan air di kawasan tersebut,” katanya di sini semalam.
Menurut Mohd. Sobri, pihaknya berharap kerajaan negeri melakukan tinjauan segera di kawasan Gunung Inas dan kawasan sekitarnya bagi melihat kemungkinan jika terdapatnya kolam pecah sehingga menyebabkan banjir kilat kelmarin.

Jelas beliau, tindakan drastik juga perlu diambil oleh pihak kerajaan negeri bagi menangani situasi tersebut.
“Sudah hampir tiga minggu kejadian kepala air sebelum ini (4 Julai) berlaku, namun masih belum ada sebarang laporan lengkap mengenai punca sebenar kejadian tersebut didedahkan.
“Kita tidak mahu pihak kerajaan hanya bercakap tanpa sebarang tindakan sedangkan penduduk sudah trauma dengan musibah yang melanda mereka,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, sebanyak 58 mangsa daripada 19 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dilanda banjir kilat akibat limpahan Sungai Kupang kelmarin.
Hujan lebat selama tiga jam bermula pukul 2 petang itu menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing.
Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, tiga sekeluarga hilang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir di Kampung Iboi.














