fbpx

Thailand naikkan tarif elektrik minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja memasang panel solar di bumbung Hospital Universiti Thammasat pada 2018 bagi mengurangkan bil elektrik. - Pattanapong Hirunard

BANGKOK – Kerajaan Thailand dijangka menaikkan tarif bil elektrik pada kadar 4.72 baht (RM0.57 sen) seunit pada empat bulan terakhir tahun ini, lapor akhbar Bangkok Post kelmarin.

Menurut sumber  Suruhanjaya Kawal Selia Tenaga, pihaknya memutuskan untuk menaikkan bayaran elektrik daripada 4.00 baht kepada 4.72 baht (RM0.48 sen kepada RM0.57 sen) bagi setiap kiloWatt-jam (unit) untuk tempoh September hingga Disember tahun ini.

Kadar baharu itu dijangka diumumkan suruhanjaya tersebut Isnin depan, kata sumber berkenaan.

Kadar tersebut adalah termasuk tarif bahan api sebanyak 0.93 baht (RM0.11 sen) seunit, meningkat sebanyak 0.67 baht (RM0.08 sen) seunit.

Berikutan kenaikan tersebut, Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (Egat) akan terus memberi subsidi bil elektrik bagi membantu rakyat negara itu.

Hutang Egat kesan daripada pemberian subsidi itu bagaimanapun dijangka meningkat kepada 109.67 bilion baht (RM13.32 bilion) menjelang hujung bulan depan.

Kenaikan tarif elektrik itu yang terdiri daripada tarif asas dan tarif bahan api (Ft) sebahagian besarnya berpunca daripada keperluan untuk mengimport gas asli cecair (LNG) yang mahal, namun kini berfungsi sebagai bahan api utama untuk penjanaan bekalan elektrik.

Tarif asas merujuk kepada kos loji janakuasa dan sistem pengedaran, manakala Ft sebahagian besar ditentukan oleh kos bahan api yang kini meningkat akibat perang Russia-Ukraine. 

Ft kebiasaannya diselaraskan setiap empat bulan. Pelarasan terbaharu dibuat pada tempoh Mei hingga Ogos lalu, dengan Ft meningkat sebanyak 0.47 baht (RM0.05) seunit. Ia menyebabkan tarif elektrik melonjak kepada 4 baht (RM0.48) seunit.

Gas asli membentuk 60 peratus daripada bahan api yang digunakan bagi menjana tenaga elektrik di Thailand.

Pengurangan bekalan gas asli daripada sumber-sumber domestik di Teluk Siam menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengimport lebih banyak LNG. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI