fbpx

Ratusan penduduk serbu Parlimen Iraq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penunjuk perasaan berbaring di atas meja Speaker Parlimen. – Getty Images

BAGHDAD, IRAQ – Beratus-ratus penunjuk perasaan merempuh masuk ke zon keselamatan ketat di pusat bandar Baghdad, Iraq, sebelum menceroboh bangunan Parlimen, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Mereka terdiri daripada penyokong ulama Muqtada al-Sadr, yang menentang pencalonan seteru beliau, Mohammed al-Sudani bagi merebut jawatan Perdana Menteri Iraq.

Dalam insiden kelmarin, polis dilaporkan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah kumpulan penunjuk perasaan. Tiada seorang pun ahli Parlimen berada di bangunan tersebut ketika kejadian.

Menurut laporan, kumpulan penunjuk perasaan  melepasi Zon Hijau yang dikawal ketat di Baghdad. Lokasi itu menempatkan beberapa bangunan penting kerajaan termasuk kedutaan asing.

Seorang pengawal keselamatan memberitahu agensi berita AFP bahawa anggota pasukan keselamatan pada awalnya berjaya menghalang kemaraan penunjuk perasaan, namun mereka kemudian menyerbu masuk ke bangunan Parlimen.

Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhimi, mengarahkan penunjuk perasaan agar meninggalkan bangunan tersebut, namun mereka terus menyanyi, menari dan berbaring di atas meja.

Pergolakan terbaharu itu berlaku sembilan bulan selepas pertikaian antara parti-parti politik di Iraq yang telah menghalang negara itu daripada menubuhkan kerajaan baharu.

Muqtada menerusi pakatan gerakan Saeroun memenangi pilihan raya umum pada Oktober tahun lalu, namun sukar untuk beliau menubuhkan kerajaan baharu kerana enggan bekerjasama dengan wakil pihak lawan. 

Beliau dan penyokongnya menentang pencalonan Mohammed sebagai Perdana Menteri kerana percaya beliau mempunyai hubungan rapat dengan Iran. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI