fbpx

Penularan pantas subvarian Omicron mampu cetus situasi buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kewujudan subvarian Omicron BA4 dan BA5 di negara ini bulan lalu mampu mencetuskan situasi yang buruk serta kegusaran susulan kes harian Covid-19 turut meningkat beberapa hari lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, rakyat diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan subvarian terbabit.

“Disebabkan penularan dia agak cepat, semua orang perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak leka dalam menjaga SOP.

“Beberapa hari lepas, angka kes Covid-19 turut meningkat daripada 3,000, kepada 4,000 hingga 5,000 kes,” katanya ketika merasmikan Kongres Dwitahunan Persatuan Pakar Bedah Endoskopik dan Laparoskopik Malaysia (SELSMA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Menurut Azmi, kes yang dirujuk ke hospital dari Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) ke Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut bertambah.

Jelasnya, nilai kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) negara turut menyumbang kepada kebimbangan itu dengan angka yang direkodkan adalah 1.12 bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-29.

Jelasnya, walaupun wujud kebimbangan, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang untuk melaksanakan sekatan bagi mencegah penularan Covid-19 sebaliknya bersiap siaga dalam aspek pengurusan kesihatan awam.

“Setakat ini kita masih mengekalkan SOP dikeluarkan ketika peralihan ke fasa endemik lalu dan tidak akan kuatkuasakan sekatan yang pernah dibuat dulu namun saringan pemeriksaan di pintu masuk antarabangsa, akan diketatkan,” ujarnya.

Susulan itu, masyarakat pelbagai peringkat usia khususnya yang mempunyai penyakit kronik dinasihatkan supaya segera mengambil suntikan dos pengggalak kedua sebagai langkah perlindungan.

“KKM sediakan dos penggalak kedua, yang patut ambil mereka berusia 50 tahun ke atas dan ada penyakit kronik atau individu berusia 18 hingga 69 tahun yang ada penyakit komorbid atau penyakit berkaitan imun.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil mengambil vaksin kedua serta dos penggalak bagi mengekang penularan Covid-19,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI