fbpx

P. Pinang pinda Perlembagaan Negeri selaras RUU larangan ahli lompat parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang akan meminda Perlembagaan Negeri agar peruntukan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti kekal konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Penasihat Undang-undang Pulau Pinang telah diarahkan untuk membantu dalam perkara tersebut.

”Memandangkan keputusan ini, Pulau Pinang berhasrat untuk meminda Perlembagaan Negeri kita dengan sewajarnya (Perlembagaan Negeri Pulau Pinang) agar peruntukan yang berkaitan kekal konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda.

”Pulau Pinang akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas untuk pindaan yang perlu kepada Perlembagaan Negeri Pulau Pinang untuk dibentangkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli dewan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat.

Menurut Kon Yeow, beliau amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah semalam di mana 209 Ahli Parlimen yang hadir di Dewan Rakyat telah mengundi menyokong pindaan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan untuk mengelakkan anti-lompat dalam kalangan ahli Parlimen.

Justeru, Kon Yeow memberitahu, permohonan kerajaan negeri bagi merujuk soalan perlembagaan berkenaan dengan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang untuk penentuan oleh Mahkamah Persekutuan (menurut seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Perkara 128 Persekutuan Perlembagaan) telah ditetapkan perbicaraan pada 3 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI