fbpx

Rakyat AS paling ramai dijangkiti cacar monyet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur untuk menerima vaksin cacar monyet di sebuah pusat vaksinasi di Brooklyn, Bandar Raya New York pada 17 Julai lalu. – AFP

WASHINGTON – Lebih 3,800 kes cacar monyet direkodkan di Amerika Syarikat (AS) setakat ini, sekali gus menjadikannya  negara paling banyak mencatatkan jangkitan wabak tersebut, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Virus cacar monyet diklasifikasikan sebagai darurat kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada minggu lalu.

Setakat ini, lebih 18,000 kes cacar monyet  telah dilaporkan di 75 buah negara.

Menurut data yang diterbitkan secara online oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), setakat 25 Julai lalu, sebanyak 3,846 kes cacar monyet disahkan atau disyaki di AS.

Angka itu melepasi jumlah jangkitan di Sepanyol, di mana  3,105 kes telah dilaporkan setakat ini.

Dua negara lain dengan jumlah jangkitan tertinggi adalah Jerman dan Britain dengan masing-masing merekodkan 2,352 dan 2,208 kes.

Berdasarkan angka jangkitan tinggi itu, akhbar Washington Post baru-baru ini melaporkan bahawa pentadbiran Presiden Joe Biden sedang mempertimbangkan untuk mengumumkan darurat kesihatan awam.

Langkah tersebut akan membolehkan kerajaan negeri menggunakan dana persekutuan untuk memerangi wabak, meningkatkan kesedaran awam dan mengumpul data kesihatan berkaitan secara lebih berkesan.

Pentadbiran Biden juga dilaporkan sedang bersiap sedia untuk melantik seorang penyelaras dari White House bagi memantau tindak balas kerajaan terhadap cacar monyet.

Pada 21 Julai lalu, 50 wakil rakyat Parti Demokrat menyerahkan surat terbuka kepada Biden untuk mendesak beliau mengumumkan darurat kesihatan serta menghantar berjuta-juta dos vaksin ke AS dari kilang-kilang di luar negara.

Ketika pegawai-pegawai berkata bahawa lelaki gay, biseksual dan petugas kesihatan merupakan golongan paling berisiko, kebimbangan turut memuncak bahawa virus cacar monyet boleh berjangkit kepada kumpulan populasi lain.

Ini terbukti apabila AS mengesahkan kes cacar monyet pertama dalam kalangan kanak-kanak pada 22 Julai lalu.

Selain itu, tindak balas kerajaan dalam menangani virus tersebut  dikekang oleh masalah kekurangan bekalan vaksin serta permulaan ujian saringan yang perlahan.

Kebanyakan kes cacar monyet disifatkan sebagai ringan, manakala simptom awalnya termasuk demam panas, nodus limfa bengkak dan melepuh, ruam atau luka seperti cacar air.

Setakat ini, tiada kematian akibat virus cacar monyet dilaporkan di AS. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`. This does not appear to be a valid RSS or Atom feed.