fbpx

Jangkitan Covid-19 meningkat, lebih 3,600 kes minggu lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jumlah kes Covid-19 meningkat 57.3 peratus iaitu 3,626 kes pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) bagi tempoh 19 hingga 25 November berbanding 2,305 kes yang dilaporkan minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, majoriti kes 48 peratus adalah terdiri daripada mereka berumur antara 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Katanya, kes mingguan Covid-19 yang masih aktif dikesan melepasi angka 1,000 kes pada setiap minggu sejak ME41/2023 sehingga minggu lalu dengan kadar peningkatan antara 7.1 peratus hingga 57.3 peratus.

“Terdapat lapan kluster Covid-19 yang masih aktif dilaporkan dengan jumlah 121 kes terlibat dalam kluster tersebut.

“Jumlah kumulatif kluster yang dilaporkan sehingga ME 47/2023 adalah sebanyak 7,248. Majoriti kluster yang dilaporkan adalah kluster pendidikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kadar kemasukan pesakit Covid-19 termasuk yang disyaki dijangkiti ke fasiliti kesihatan juga meningkat kepada 2.9 peratus bagi setiap 100,000 penduduk pada minggu berkenaan berbanding minggu sebelumnya.

“Pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 0.4 peratus, pengisian katil bukan kritikal Covid-19 (0.9 peratus) dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan kekal (0.2 peratus),” ujarnya.

Jelas Muhammad Radzi, sebanyak empat varian Omicron baharu turut dilaporkan, semuanya terdiri daripada varian dibimbangi (VOC) dengan dua kes varian Omicron baharu, BA.2.86, telah dilaporkan melalui aktiviti saringan gejala di klinik kesihatan.

“Kedua- dua kes tidak mempunyai sejarah ke luar negara dalam tempoh 14 hari sebelum gejala. Mereka dirawat sebagai pesakit luar dan dalam keadaan stabil,” katanya.

Muhammad Radzi berkata, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 46 negara melaporkan varian BA.2.86.

Walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19, beliau berkata, keadaan adalah terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada dan pihaknya akan memantau situasi dan varian berkenaan.

Petugas kesihatan sama ada di fasiliti kesihatan awam dan swasta telah diminta untuk sentiasa berwaspada dengan peningkatan kes Covid-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI