fbpx

Pasukan khas ditubuh bantu lepasan JKM sambung pengajian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) 2022 di ibu negara hari ini. - Foto IHSAN PMO

PUTRAJAYA – Satu pasukan khas yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan akan diwujudkan bagi menyediakan laluan khas kepada kanak-kanak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melanjutkan pelajaran baik dalam bidang kemahiran atau akademik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa yang sama, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan bertanggungjawab menyediakan dana pendidikan dan dana penempatan serta laluan kerjaya.

“Pada masa sama, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) pula akan menjadi penjamin bagi membantu kanak-kanak lepasan institusi yang tiada dokumen dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan berperanan menyediakan latihan serta peluang pekerjaan selepas mereka tamat pengajian dan kesemua bantuan ini akan diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan amat mengambil berat soal pemerkasaan kanak-kanak lepasan bagi menjamin masa depan golongan itu dan mereka yang berusia 18 tahun lazimnya tidak lagi ditanggung oleh JKM menyebabkan ada dalam kalangan mereka tercicir.

Terdahulu, Ismail Sabri telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) 2022 yang dihadiri oleh Menteri-menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan Kementerian, Jabatan dan Agensi yang terlibat.

“Mesyuarat pada hari ini juga bersetuju mewujudkan Gender Focal Team (GFT) di setiap kementerian dan agensi dalam usaha untuk meneroka potensi wanita dalam ekonomi dan mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif.

“Untuk itu GFT akan mempunyai sekurang-kurangnya tujuh orang ahli bagi mengkoordinasi dan melaksanakan inisiatif untuk mencapai kesaksamaan gender,” ujar beliau.

Tambah Ismail Sabri, mesyuarat turut menzahirkan kebimbangan terhadap kes jenayah siber yang semakin meningkat dan sejak 2016 sehingga 2021 dilaporkan terdapat hampir 82,000 kes penipuan siber melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM2.21 bilion.

“Menyedari tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan masyarakat tentang risiko penipuan dalam talian, Inisiatif Pembangunan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber bagi Menangani Isu Penipuan Siber diwujudkan.

“Ia bagi melahirkan warga siber yang berpengetahuan dan bertanggungjawab serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penjenayah siber,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual (RUU AGS) 2021 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai lalu membuktikan komitmen kerajaan dalam menangani isu gangguan seksual di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI