fbpx

Mahkamah: 2 anak Jamaludin Jarjis berjaya batal saman nenek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua anak Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis hari ini berjaya membatalkan saman yang difailkan nenek mereka Aminah Abdullah berhubung perintah pengagihan wang tunai berjumlah RM2.29 juta milik Allahyarham yang disimpan dalam bank tempatan dan luar negara.

Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan dua anak Jamaludin itu iaitu Nur Anis ,37, dan Ikhwan Hafiz, 35, selaku defendan ketika prosiding kes saman itu yang dijalankan secara atas talian di sini hari ini.

Dalam keputusannya, mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua defendan dengan alasan saman itu tidak boleh dikekalkan berdasarkan prinsip undang-undang res judicata (suatu perkara yang sudah diadili) kerana fakta sama  yang dikemukakan dalam kes berasingan sudah didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Dengan keputusan itu, mahkamah turut memerintahkan Aminah, 88, selaku plaintif membayar kos RM15,000 pada setiap defendan.

Sementara itu, peguam K.Shanmuga yang bertindak mewakili Nur Anis dan Ikhwan Hafiz manakala peguam Wan Zafran Pawancheek yang mewakili Aminah mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi media di sini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 31 Mei 2021,  Aminah memohon satu perintah bahawa pentadbir bersama atau pentadbir terkini harta pusaka mengagihkan secara separa iaitu jumlah RM21.3 juta yang diketahui kepada semua waris-waris dan berdasarkan hak-hak/bahagian dalam Sijil Faraid bertarikh 13 Oktober 2016.

Selain itu, suatu perintah bahawa pentadbir bersama atau pentadbir terkini harta pusaka serta-merta mengagihkan iaitu jumlah  RM2,29 juta kepada plaintif, dalam masa empat belas hari dari tarikh perintah ini serta dari wang yang berada dalam jagaan dan kawalan defendan-defendan atau akaun harta pusaka yang rasmi dan tanpa prasangka kepada apa-apa pendapatan atau aset-aset lebihan yang dari semasa ke semasa selepasnya mungkin dikumpul/diterima oleh/untuk harta pusaka Allahyarham.

Sebelum ini, pada Ogos tahun lalu, Aminah berjaya dalam tuntutannya memasukkan 3,000,000 saham syarikat Rantai Wawasan Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada aset harta pusaka peninggalan anaknya di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril membuat keputusan itu selepas membenarkan sebahagian tuntutan saman Aminah selaku plaintif yang dikemukakan terhadap dua cucunya yang menamakan anak sulung Allahyarham, Nur Anis, dan Ikwan Hafiz masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI