fbpx

KKM rampas produk farmaseutikal haram bernilai RM2.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS pelbagai agensi merampas produk ubat dan peranti perubatan tidak berdaftar di premis yang diserbu ketika Operasi Pangea XV. - Foto IHSAN KKM

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merampas pelbagai jenis produk farmaseutikal tidak berdaftar bernilai RM2,652,500 di seluruh negara menerusi Operasi Pangea XV yang berlangsung dari 23 Jun sehingga 1 Julai lalu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama bersepadu daripada pelbagai agensi di seluruh negara yang dan operasi berkenaan merupakan tindakan kolektif peringkat antarabangsa terhadap penjualan produk farmaseutikal secara haram.

“Produk tidak berdaftar ini dikesan daripada sebanyak 2,438 pautan laman web dan inisiatif tersebut juga diselaraskan oleh Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) serta melibatkan kerjasama polis, kastam dan agensi kesihatan di seluruh dunia.

“Di peringkat antarbangsa, lebih daripada 7,800 rampasan produk yang menyalahi undang-undang di 94 negara berjaya dilakukan dengan bilangan penyitaan melebihi daripada tiga juta unit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau, lebih daripada 4,000 pautan laman web terutama menerusi platform media sosial dan aplikasi pesanan ringkas telah disekat akses selain kandungannya diturunkan setelah siasatan dilakukan.

“Pihak penguat kuasa juga memeriksa hampir 3,000 bungkusan pos di 280 hab pos lapangan terbang, pintu sempadan dan pusat mel kargo di negara yang terlibat operasi ini,” jelasnya.

Dr. Noor Hisham menambah, di Malaysia operasi itu diselaraskan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian serta ada membabitkan beberapa agensi termasuk Pos Malaysia Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta CyberSecurity Malaysia yang berjaya menjejaki banyak laman web berkenaan termasuk yang dianggap Dark Web.

“Senarai pautan tersebut diserahkan kepada pihak Interpol untuk tindakan selanjutnya dan mereka juga dapati ada peningkatan dalam penjualan ubat terkawal menerusi operasi tahun ini yang merangkumi bahan psikotropik, ubat tahan sakit dan antibiotik.

“Sebanyak 686 peranti tanpa kelulusan pihak berkuasa seperti termometer, oksimeter serta monitor tekanan darah turut dikesan dan 73 daripada 1,059 bungkusan pos yang mengandungi 315,916 unit produk tidak berdaftar dianggarkan bernilai RM887,024 telah berjaya dirampas,” tegasnya.

Beliau menjelaskan kebanyakan ubat terkawal itu diseludup masuk dari Bangladesh, India dan pelbagai negara hasil pemeriksaan ketat di semua pintu masuk utama dan pos sempadan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI