fbpx

KKM laksana tinjauan kesihatan mulut untuk data pergigian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Noor Hisham.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan satu tinjauan kesihatan mulut untuk orang dewasa sedang dilaksanakan di seluruh negara bermula Jun lalu sehingga September ini bagi mendapatkan data pergigian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kesihatan 2020: Kaji Selidik Kesihatan Pergigian Orang Dewasa 2020 (NHMS 2020: NOHSA 2020) yang dirancang pada 2020 sebelum ini terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

Menurut beliau, tinjauan berkenaan merupakan kaji selidik kesihatan pergigian orang dewasa yang keempat dan dijalankan secara berkala setiap 10 tahun.

“Kaji selidik ini bertujuan untuk mendapatkan data kesihatan pergigian serta bebanan penyakit pergigian dalam kalangan warganegara Malaysia.

“NHMS 2020: NOHSA 2020 akan melibatkan lawatan ke rumah-rumah yang terpilih dan dijangka melibatkan seramai 23,000 responden yang berumur 15 tahun dan ke atas daripada 11,300 buah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 65 pasukan pemeriksa dibentuk khusus bagi aktiviti pengumpulan data melibatkan temu ramah dan pemeriksaan mulut yang merangkumi pemeriksaan gigi, gusi dan lesi mulut.

Justeru beliau meminta agar semua pihak yang terpilih dapat memberi kerjasama kepada pasukan pergigian yang mengunjungi rumah terpilih kelak.

“Hasil dapatan akan digunakan bagi menilai keberkesanan dan impak ke atas inisiatif serta program-program kesihatan pergigian yang telah dilaksanakan di seluruh negara.

“Di samping itu, ia juga akan dijadikan data garis dasar bagi Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan (2022-2030) memandangkan majoriti data kesihatan mulut sedia ada hanya diperolehi daripada penduduk yang menggunakan fasiliti KKM sahaja dan tidak mewakili keseluruhan penduduk Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, antara penemuan utama tinjauan terakhir yang diadakan pada tahun 2010 menunjukkan beban penyakit pergigian yang tinggi dalam kalangan penduduk berumur 15 tahun ke atas iaitu 88.9 peratus mempunyai karies pergigian dan 94 peratus mengalami penyakit gusi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI