fbpx
AKSI menarik kanak-kanak yang mengikuti perlumbaan motocross.

Anak muda penentu masa depan motocross

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perlumbaan motocross remaja dan kanak-kanak, MX Kids Fun Race Series (MX Kids) dianjurkan atas inisiatif pertubuhan MX Kids Malaysia yang terdiri daripada ibu bapa kepada komuniti para pelumba cilik itu sendiri.

Ini bagi memastikan pembangunan berterusan dunia motocross di negara ini dan anak-anak kecil terbabit mempunyai arena untuk memperkembang potensi diri.

Sehingga kini, dua siri perlumbaan MX Kids telah berjaya dijalankan iaitu di Litar TRX Sema Motocross, Ulu Yam, Selangor pada Februari dan Bandar Tun Razak, Keratong sekitar Jun lalu.
————————————————————————————————————————————————————————
PERASAAN gembira dan puas jelas terpancar pada wajah remaja berusia 16 tahun itu selepas dinobatkan pemenang kategori junior (85cc) pada perlumbaan motocross, MX Kids Fun Race Series (MX Kids) 2022.

Kejayaan Muhammad Zhafran Aniq Muhammad Yusmizan mengenepikan cabaran 18 pelumba lain di Litar Motocross Bandar Tun Razak, Keratong, Pahang itu ternyata cukup bermakna.

Kemenangan tersebut menjadi penawar kepada penat lelahnya berlatih selama ini serta memberi keceriaan kepada kru pasukan diwakili iaitu Fattah Motorsports.

Lebih manis, kejayaan tersebut hadir di litar tempat kelahiran Muhammad Zhafran Aniq sambil disaksikan bapa serta ahli keluarganya yang hadir memberi sokongan.

“Meskipun perlumbaan ini hanya bersifat ‘fun race’, namun saingan yang diberikan oleh pelumba-pelumba lain sangat hebat.

“Kejayaan ini cukup bermakna kepada saya, keluarga dan pasukan diwakili. Segala pengorbanan dan komitmen selama ini sedikit terbalas,” ujarnya kepada K2 baru-baru ini.

Perlumbaan MX Kids dianjurkan oleh MX Kids Malaysia yang terdiri daripada ibu bapa kepada komuniti para pelumba motocross cilik.

Ia diadakan bertujuan memastikan pembangunan berterusan dunia motocross bagi kategori peringkat umur kadet dan junior iaitu antara enam hingga 16 tahun.

Muhammad Zhafran Aniq memaklumkan, siri perlumbaan MX Kids merupakan platform terbaik buatnya mengukur kemampuan diri serta mengasah teknik tunggangan sebelum menyertai perlumbaan lebih besar.

Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, MX Kids juga memberi peluang kepadanya bersaing bersama pelumba-pelumba hebat serta menimba pengalaman berlumba di pelbagai jenis litar.

“Selepas menyertai perlumbaan ini, keazaman saya untuk mempertingkat kemahiran diri semakin bertambah. Pada masa sama, saya juga dapat bertukar-tukar pendapat dengan pelumba lain serta mendapat kenalan baharu,” katanya.

SEORANG pelumba cilik kelihatan berlumuran lumpur sewaktu menyertai sukan lasak ini.

Sehingga kini, dua siri perlumbaan MX Kids telah berjaya dijalankan iaitu di Litar TRX Sema Motocross, Ulu Yam, Selangor pada Februari dan Bandar Tun Razak, Keratong sekitar Jun lalu.

Siri perlumbaan ketiga pada tahun ini dijangka berlangsung di Litar MXKIDS Medini Iskandar Puteri, Johor pada September. Siri terakhir akan berlangsung pada Disember depan di lokasi yang belum ditetapkan.

Salah seorang bapa pelumba, Azlimee Johari berkata, anak perempuannya, Nur Alisa Umaira, 12, telah menyertai kedua-dua siri perlumbaan yang dianjurkan oleh MX Kids.

Lelaki berusia 41 tahun itu berkata, penganjuran MX Kids telah berjaya memeriahkan lagi arena motocross tempatan terutamanya bagi kategori bawah umur.

“Saya percaya MX Kids merupakan platform terbaik bagi perkembangan pelumba muda dalam arena motocross tempatan. Sebelum ini, tidak banyak perlumbaan yang dianjurkan secara bersiri.

“Malah, saya boleh lihat sendiri peningkatan prestasi dan keyakinan anak saya berlumba. Kalau pada siri pertama dahulu Nur Alisa Umaira kurang yakin bersaing dengan pelumba lelaki, tetapi kini dia kian bersemangat,” ujarnya.

Menurut Azlimee, dia sentiasa memberi dorongan serta galakan kepada anaknya untuk terus berkembang dalam dunia motocross memandangkan potensinya cukup besar.

Jelasnya, dia sanggup berhabis puluhan ribu ringgit bagi membeli motosikal, pakaian, topi keledar serta perbelanjaan lain sewaktu perlumbaan seperti kos penginapan, pengangkutan dan kru.

“Selepas kejayaan Nur Alisa Umaira meraih podium pada siri pertama dan kedua MX Kids bagi kategori novice 65cc, saya mula yakin dengan potensi yang ada padanya. Jadi, saya tidak kisah untuk berhabis untuk minatnya itu.

“Malah, saya sudah membeli motosikal baharu 86cc bernilai RM8,000 sebagai persediaan buatnya bersaing dalam kategori junior pada siri MX Kids tahun depan,” ujar lelaki memiliki perniagaan kedai makan itu.

REMAJA dan kanak-kanak yang menyertai perlumbaan motocross MX Kids Fun Race Series 2022 di Litar Motocross Bandar Tun Razak, Keratong, Pahang baru-baru ini bergambar kenangan.

Mengimbau kembali minat anaknya dalam dunia motocross, Azlimee berkata, Nur Alisa Umaira meminati sukan tersebut selepas tertarik melihat para pelumba dewasa beraksi di litar.

Menurutnya, Nur Alisa Umaira sendiri memintanya membeli sebuah motocross untuk bermain di sekitar kawasan rumah sebelum menyertai perlumbaan selepas beberapa bulan belajar menunggang.

“Saya selalu bawa dia pergi tengok orang main motocross di beberapa litar sekitar Perlis. Tidak sangka pula, dia minta saya beli motocross untuknya. Dari situlah bermulanya perjalanan karier perlumbaan motocross anak saya.

“Pada saya, sukan ini mampu membantu membentuk disiplin dan daya saing sihat. Ia juga dapat memberi pelbagai manfaat dari aspek perkembangan minda, mental dan fizikal serta meningkatkan tahap kemahiran sensori, motor skill serta interaksi sosial,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah MX Kids 2022, Fazril Ahmad Zabidi memberitahu, perlumbaan tersebut dianjurkan hasil inisiatif segelintir ibu bapa pelumba yang terlibat dalam motocross dengan kerjasama pasukan serta pemilik litar.

Jelasnya, inisiatif tersebut diambil demi menyokong pembangunan berterusan dalam dunia motocross kategori kadet dan junior dari peringkat akar umbi.

Untuk makluman, siri perlumbaan MX Kids dibahagikan kepada kategori kadet iaitu 50cc dan 65cc bagi kanak-kanak enam hingga 12 tahun serta junior (85cc) untuk remaja 13 hingga 15 tahun. Bagi kategori 50cc dan 65cc, ia dibahagikan kepada rookie serta novice.

“Sukan ini semakin mendapat perhatian apabila ramai ibu bapa belikan anak-anak mereka motocross kerana harganya serendah RM2,500 saja kalau buatan China. Malangya, perlumbaan motocross untuk kategori kadet dan junior sangat terhad.

“Justeru, saya bersama beberapa waris pelumba lain terpanggil menganjurkan siri MX Kids buat kali pertama tahun ini. Ia hasil sambutan hebat diterima pada siri perlumbaan ‘test market’ di Sendayan (Negeri Sembilan) pada tahun lalu,” katanya.

Menurut Fazril, salah satu tarikan utama MX Kids adalah pembahagian perlumbaan bagi 50cc dan 65cc kepada dua sub kategori lain iaitu rookie dan novice. Jelasnya, pembahagian tersebut dapat memastikan keselamatan pelumba lebih terjamin sekali gus membolehkan lebih ramai pelumba baharu untuk turut serta.

Dia menambah, jika 10 tahun lalu untuk mendapatkan lima orang pelumba kategori kadet amatlah sukar, tetapi kini terdapat lebih 100 orang pelumba aktif.

“Kami sedar motorcross ini boleh dianggap sukan lasak. Jadi, ramai ibu bapa bimbang anak mereka yang baru belajar menunggang akan terjatuh dan cedera apabila bersaing dengan pelumba lebih berpengalaman.


KANAK-KANAK bersaing dalam salah satu acara perlumbaan motocross MX Kids di Bandar Tun Razak, Keratong baru-baru ini.

“Disebabkan itu, kami membahagikan pelumba mengikut kemampuan mereka iaitu rookie (baharu) dan novice (berpengalaman). Lagipun MX Kids bersifat ‘fun race’, jadi ibu bapa rasa anak-anak mereka akan lebih selamat,” katanya.

Selain berlumba, siri perlumbaan MX Kids turut diserikan dengan penganjuran program Cadet Motocross Riding Clinic anjuran jenama motosikal terkemuka KTM. Menerusi klinik itu, para pelumba cilik akan diajar teknik menunggang motocross dengan betul.

Menariknya, setiap siri perlumbaan MX Kids diadakan pada musim cuti sekolah panjang bagi memudahkan para pelumba yang terdiri daripada pelajar dan ahli keluarga mereka turut serta.

“Perlumbaan ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan antara anak dan ibu bapa. Ia juga dapat merangsang aktiviti pelancongan sukan yang akan memberikan impak positif kepada ekonomi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN