fbpx

Pemotong rumput didakwa tipu khidmat bomoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Aizat Ahmad didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu seorang wanita dengan menawarkan perkhidmatan tradisional tidak wujud.

SEREMBAN – Seorang pemotong rumput yang kononnya boleh menyembuhkan penyakit misteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu seorang wanita dengan menawarkan perkhidmatan perubatan tradisional tidak wujud sehingga mengakibatkan kerugian keseluruhan hampir RM96,000 Mac lalu.

Tertuduh, Mohamad Aizat Ahmad, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Salleh dan Norzaliza Tesmin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah memperdayakan mangsa seorang wanita berusia 42 tahun dalam urusan mendapatkan perkhidmatan tradisional (bomoh) yang tidak wujud dengan menyatakan kononnya boleh menyembuhkan penyakit misteri yang dihadapi mangsa.

Oleh itu, tertuduh dengan curang mendorong mangsa menyerahkan seutas rantai, seutas gelang tangan, sebentuk cincin, wang tunai RM4,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM15,362 secara serahan tangan yang mana mangsa tidak akan memberikan harta tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Bagi tiga pertuduhan lagi, tertuduh telah memperdayakan mangsa sama dengan memindahkan wang tunai berjumlah RM80,550 melalui tiga akaun bank.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai makan di Senawang pada pukul 6 petang, 19 Mac 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan telah menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia hanya bekerja sebagai pemotong rumput sudah berkahwin dan perlu menanggung dua orang adik.

“Tertuduh sudah berkahwin tetapi dalam proses penceraian dengan isterinya, selain perlu menanggung seorang adik yang masih bersekolah dan seorang lagi orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan.

Kes akan disebut semula 10 Ogos hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI