KUANTAN – Jabatan Perikanan dalam proses mencadangkan kerajaan menambah baik kaedah perikanan sungai dengan memasukkan larangan pelepasan ikan-ikan dilarang atau ikan asing ke perairan umum.
Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, langkah itu amat wajar dalam usaha menjaga kelestarian sumber perikanan negara yang terancam ekoran kehadiran ikan-ikan pemangsa luar.
“Buat masa ini tiada larangan pelepasan ikan eksotik atau asing tersebut tetapi hendaklah difahami bahawa memiliki ikan tersebut sudah menjadi satu kesalahan pun.
“Bagi menjaga kelestarian sumber perikanan, jabatan ada mengeluarkan garis panduan tentang pelepasan ikan ke perairan umum (sungai dan tasik),” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan selepas baung ekor merah yang merupakan ikan pemangsa luar mula mendominasi Sungai Pahang, kini alligator gar yang mempunyai mulut seakan buaya mula bertapak menguasai sungai terpanjang di Semenanjung itu.
Sebelum ini baung ekor merah sehingga berat lebih 50 kilogram berjaya ditangkap di sepanjang Sungai Pahang hampir setiap hari, terbaharu alligator gar dengan gigi yang tajam sudah berjaya dikesan apabila ditangkap di Sungai Pahang dekat Kampung Salong di Pekan.

Ikan alligator gar yang pernah direkodkan mencapai berat sehingga 159 kilogram boleh menjadi ancaman baharu kepada populasi ikan tempatan khusususnya ikan liar bermutu tinggi yang terdapat di sungai-sungai Pahang.
Dengan kemampuan bertelur sebanyak RM150,000 telur bagi seekor ikan yang boleh menetas dalam 10 hari, ikan ini mampu menawan atau mendominasi Sungai Pahang sekiranya mula membiak.
Menurut Abdullah, terdapat 16 jenis ikan yang dilarang dibawa masuk, disimpan dan dipelihara di negara ini mengikut Peraturan-Peraturan (Larangan Import Bagi Ikan) 1990 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
“Saya menyeru semua pengusaha dan pemilik kedai akuarium di Pahang mematuhi peraturan berkenaan dan jika mereka ada simpan tolong berhubung dengan mana-mana Pejabat Perikanan berhampiran untuk diserahkan kepada Jabatan Perikanan.
Sementara itu mengulas mengenai ikan alligator gar beliau berkata, pihak penguat kuasa Jabatan Perikanan telah melaksanakan tindakan mengambil ikan larangan tersebut daripada nelayan terbabit.
Ujarnya, pemilik ikan itu memberikan kerjasama yang baik dan ikan larangan tersebut dibawa dan disimpan di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok di Jerantut untuk tujuan penyelidikan dan pendidikan.














