fbpx

Angkat misi Black Hawk Down, Zahiril Adzim teruja jadi Leftenan Dahari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAHIRIL Adzim kini sudah dua hari berada di Turki bagi menjalani penggambaran filem Bakara arahan Adrian Teh.

PETALING JAYA – Aktor serba boleh, Zahiril Adzim tidak mampu menyembunyikan rasa teruja dan berbesar hati apabila menjadi sebahagian dari filem yang mengangkat sejarah ketenteraan Malaysia, Malaysian Battalion (Malbatt) menerusi naskhah berjudul Bakara.

Filem yang menyorot tragedi pertempuran di Somalia pada 1993 berkenaan menyaksikan Zahiril memikul watak sebagai Leftenan Dahari.

“Berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini yang mengangkat sebuah kisah sejarah tentera Malaysia, di mana terjadinya peristiwa dan pertempuran yang menggerunkan di Somalia pada 1993,” tulisnya.

Pemilik nama lengkap, Mohd. Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar, 38, itu kini sedang berada di Turki bagi menjalani penggambaran filem berkenaan.

Kongsi suami kepada pelakon Shera Aiyob itu lagi, peristiwa berkenaan pernah dipaparkan menerusi filem Hollywood, Black Hawk Down yang mengisahkan sepasukan tentera Amerika Syarikat terperangkap di tengah pasar Bakara, Somalia.

“Tentera AS ada yang dah kehabisan peluru, ramai yang terkorban dan mereka sudah tiada harapan untuk keluar dari situ. Akhirnya mereka diselamatkan oleh tentera United Nation (UN).

“Siapakah yang ada dalam tentera UN waktu itu? Mereka adalah tentera Malaysia yang sangat berani, Malbatt (Malaysian Battalion). Malbattlah yang berjaya membawa keluar askar AS waktu itu,” katanya.

Bagaimanapun, dalam filem lakonan Josh Hartnett tersebut, nama Malaysia cuma disebut sekali sahaja.

Justeru kata Zahiril, kini tiba giliran Malaysia sendiri menceritakan kisah sebenar yang terjadi dalam pertempuran tersebut menerusi naskhah arahan Adrian Teh berkenaan.

Perkongsian Zahiril ternyata mengundang keterujaan bukan hanya dalam kalangan peminat bahkan rakan-rakan selebriti yang lain.

Mereka tidak sabar menyaksikan kehebatan naskhah tersebut di samping kredibiliti Zahiril selaku aktor yang membawa watak sebagai seorang tentera Malbatt yang terlibat dalam peristiwa berkenaan.

“Semoga berjaya Bob (Zahiril) dan pasukan Bakara. Tak minta banyak pun, nak meremang bulu tengkuk je bila tengok kat panggung nanti,” komen aktres Nadiya Nisaa.

Selain Zahiril, Bakara turut menampilkan barisan pelakon lain antaranya Hairul Azreen, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi, Dafi Ismail Sabri dan Taufiq Hanafi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI