fbpx
Suspek yang dikenali sebagai Yumol dibawa oleh polis selepas diberkas kerana disyaki menembak tiga mangsa di Universiti Ateneo de Manila, semalam. – AFP

Bekas datuk bandar Filipina maut dalam tembakan di universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA, FILIPINA – Tiga terbunuh dalam satu kejadian tembakan di sebuah universiti di Manila, kata pegawai, dalam apa yang dilihat sebagai pembunuhan yang dirancang.

Insiden tersebut berlaku di Universiti Ateneo de Manila, ketika para pelajar jurusan undang-undang dan ahli keluarga mereka tiba untuk menyertai acara graduasi yang dijadual turut dihadiri oleh Ketua Hakim Negara.

Rose Furigay, yang merupakan bekas datuk bandar wilayah selatan yang bergolak, Basilan, ialah antara yang terbunuh. Anak perempuannya merupakan salah seorang graduan acara konvokesyen itu, kata pihak berkuasa.

Selain itu, pembantu eksekutif Furigay dan seorang pengawal universiti turut dilaporkan maut.

Anak perempuannya bagaimanapun mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan stabil di hospital, kata polis.

“Kami agak kecewa dan berduka dengan kejadian ini,” kata Datuk Bandar bagi unit kerajaan tempatan, Joy Belmonte.

Penyerang dikatakan melarikan diri dari lokasi kejadian dengan mengarahkan seorang pemandu keluar dari keretanya, sebelum meninggalkan kenderaan tersebut dan cuba meloloskan diri, kata polis. 

Dia kemudian ditahan berdekatan dengan sebuah gereja.

Polis menemui dua pucuk pistol dan sepucuk penyenyap yang dipercayai digunakan oleh suspek yang dikenal pasti sebagai Chao-Tiao Yumol. Dia dikatakan mempunyai ‘sejarah panjang’ berkaitan pertikaian undang-undang dengan Furigay.

“Kejadian ini kelihatan seperti pembunuhan yang dirancang,” kata Brigedier Jeneral Polis, Remus Medina kepada pemberita sambil menyifatkan insiden itu sebagai ‘terpencil’. – AFP 

POPULAR