fbpx

Warga Ipoh jadi contoh penyertaan sosial perangi denggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumaizi (tengah) menunjukkan isyarat bagus ketika hadir di Majlis Pelancaran Kempen Kesihatan Persekitaran Tahun 2022 Membasmi Wabak dan Hotspot Denggi di RPT Batu 8, Hulu Kinta, Ipoh hari ini.

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyasarkan penyertaan sehingga 90 peratus warga bandar raya itu dalam usaha memerangi wabak denggi sekali gus menjadi contoh kepada penduduk lain di seluruh negara.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini kerana dalam indeks sosial, markah penyertaan sosial adalah tinggi dan atas sebab itu penglibatan maksimum komuniti adalah penting.

“Ipoh akan menjadi pendahulu di Perak dalam usaha memerangi wabak denggi yang telah pun kita gerakkan oleh MBI dengan komuniti setempat. Kami telah mencalonkan lokaliti RPT Batu 8, Hulu Kinta untuk dilaksanakan Kempen Membasmi Wabak dan Hotspot Denggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Kesihatan Persekitaran Tahun 2022 Membasmi Wabak dan Hotspot Denggi di RPT Batu 8, Hulu Kinta di sini hari ini.

Pemilihan lokaliti RPT Batu 8 adalah berdasarkan data yang dibekalkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta yang mana lokaliti RPT Batu 8 telah diisytiharkan lokaliti Wabak Terkawal sebelum menjadi lokaliti hotspot dengan tarikh tamat 15 Jun 2022.

Untuk rekod, sehingga 1 Jun lalu, sebanyak sembilan kes demam denggi telah dilaporkan di lokaliti RPT Batu 8 Ulu Kinta.

Pada masa sama, Rumaizi berkata, penglibatan masyarakat melalui projek COMBI Denggi telah menunjukkan keberkesanannya.

“Aktiviti pasukan COMBI yang diselaraskan oleh PKD Kinta diharap akan dapat ditambah dari semasa ke semasa. Sokongan padu dan kerjasama erat oleh semua pihak dalam membanteras denggi perlu diteruskan serta dipertingkatkan lagi.

“Semoga Ipoh mencapai hasrat untuk menjadi bandar raya contoh selain menjadi bandar raya terbersih menjelang 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI