fbpx
NELSEN menunjukkan antara kot yang dihasilkannya di kedai Jahit Style Tailor di Kuantan.

Tengok badan dah tahu ukuran jahitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEORANG tukang jahit berpengalaman dari Kuantan Pahang mampu menganggar saiz kot yang sesuai apabila melihat bentuk badan seseorang yang melangkah masuk ke kedainya.

Heng Chin Tin, 71, atau lebih mesra dipanggil Nelsen dia memulakan bisnes jahitan kot dan baju lelaki sejak 1973 dan mula mempelajari jahitan daripada abangnya di Terengganu sejak berumur 19 tahun sebelum menyambung belajar jahitan kot selama hampir setahun di Singapura.

Menurutnya, pembuatan kot ini yang memerlukan kesabaran dan sehingga kini lebih 10,000 kot telah dia jahit.
——————————————————————————————————————————————————————————-

Gunting berusia 108 tahun buatan Jerman digunakan Nelsen Cheng,71, begitu lancar membelah kain untuk dijadikan kot dan seluar di kedai jahit Style Tailor.

Gunting yang diwarisi dari datuk dan moyang Nelsen atau nama penuhnya Heng Chin Tin itu menjadi saksi kehebatan warisan tukang gunting pakaian lelaki itu yang terkenal dengan jahitan kot.

Menghasilkan lebih 10,000 baju kot sehingga kini, membuatkan pemilik Style Tailor di bandar Kuantan, Pahang itu sememangnya menjadi antara tukang jahit pakaian lelaki yang berpengalaman dan mempunyai kemahiran tinggi dalam jahitan.


NELSEN (kiri) dan isterinya, Tan Bee Hone menunjukkan gunting berusia 108 tahun yang masih digunakannya.

Berdasarkan kemahiran dan pengalaman yang ada, bapa kepada lima anak itu mampu menganggar saiz kot yang sesuai apabila melihat bentuk badan seseorang yang melangkah masuk ke kedainya.

Berdasarkan kepada saiz badan terutamanya bahu dan perut, beliau sudah tahu sama ada terdapat kot yang telah disiapkannya padan atau tidak dengan seseorang.

Nelsen atau nama penuhnya Heng Chin Tin berkata, pembuatan kot sebenarnya tidak boleh hanya sekadar dengan mempelajari jahitan semata-mata, tetapi memerlukan pengalaman kerana ia perlu dilakukan dengan teliti agar memberi keselesaan dan padan dengan pemakainya.

“Pembuatan kot sebenarnya memerlukan penelitian bagi memastikan ia selesa dipakai.

“Selain mengukur saiz biasa, ukuran kena tengok juga bentuk badan seperti dada, bahu serong atau lurus dan juga saiz perut, begitu juga seluar pelbagai perkara perlu dilihat.

“Banyak pengalaman saya belajar dalam pembuatan kot ini yang memerlukan kesabaran dan sehingga kini lebih 10,000 kot telah saya jahit,”katanya yang menetap di Sri Kuantan.


KETEKUNAN dan ketelitian Nelsen mengukur kain untuk dijahit menjadikan kerja yang dihasilkan begitu sempurna.

Menurut Nelsen, dia memulakan bisnes jahitan kot dan baju lelaki sejak 1973 dan mula mempelajari jahitan daripada abangnya di Terengganu sejak berumur 19 tahun sebelum menyambung belajar jahitan kot selama hampir setahun di Singapura.

Katanya, sejak kedainya dibuka, dia sentiasa mengutamakan kualiti dalam jahitannya menyebabkan pelanggan yang datang berpuas hati dan kembali semula untuk membuat tempahan.

Jelasnya, bermula seorang diri menjahit, dia kini mempunyai lebih lapan pekerja jahitan mahir yang turut diajarnya cara-cara jahitan agar memuaskan hati pelanggan.

Dia memberitahu, turut menawarkan harga berpatutan dengan kualiti terbaik iaitu bagi kot adalah RM600 ke atas dan seluar RM160 ke atas serta baju Melayu RM220 ke atas bagi sepasang.

“Saya sebenarnya mengutamakan kualiti dan kepuasan pelanggan, kalau pelanggan selesa pakai saya amat berpuas hati dan seronok. Kain dikedai saya adalah yang berkualiti.

“Selain menerima tempahan daripada individu, saya juga menerima tempahan daripada syarikat dan juga agensi kerajaan dan swasta khususnya pembuatan kot,”katanya.

Pembuatan kot yang betul bukan sahaja dapat memberikan keselesaan malah dapat menyembunyikan ‘kekurangan’ bentuk badan, seterusnya memperlihatkan bentuk badan yang sempurna.

Nelsen berkata, kot yang dibuat biasanya mempunyai empat lapis di bahagian hadapan dan masing-masing dua lapis di bahagian belakang dan lengan.

Beliau memberitahu, antara rahsia pembuatan kot adalah paling rumit iaitu kolar dan juga pada bahagian lengan.


PELANGGAN yang datang ke Stykle Tailor dilayan sebaiknya oleh Nelsen.

“Ia mesti juga mengikut bentuk badan, yang mana jika bahu serong, kena tambah kain kapas bagi nampak lurus. Kalau orang yang bongkok pula, kena tambah bahagian belakang agar panjang sedikit, begitu juga saiz panjang bahagian hadapan mesti juga ambil kira perut,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kot yang telah siap tidak lagi boleh diubahsuai kerana ia mempunyai banyak lapisan, menyebabkan ia tidak akan dapat dihasilkan dengan sempurna.

“Sebab itu, kot kalau lihat tebal di bahagian hadapan kerana ada empat lapis dan tidak boleh diubahsuai kerana tidak dapat dijahit semula dengan sempurna.

“Ada yang melakukan ubahsuai menjahit bahagian luar sahaja, macam buat kerja ‘bohong’.

“Orang yang tidak faham mungkin kata, kita tidak hendak baiki, tetapi kenyataannya ia tidak boleh dibaiki kerana menyebabkan hasil yang tidak memuaskan,”ujarnya.

Sementara itu, Siew Fook Chan,71, yang merupakan pelanggan tetapnya sejak mula kedai jahit Style Tailor dibuka berkata, tiada tukang jahit setanding Nelsen yang pernah ditemuinya setakat ini.

Katanya, daripada jahitan kot, baju dan seluar sememangnya jahitan Nelsen amat baik dan amat selesa dipakai sehingga tiada pelanggan yang mengadu tidak berpuas hati.

KEDAI Style Tailor begitu popular di Kuantan bagi mereka yang ingin menempah baju dan kot.

Dia memberitahu, hampir kesemua seluar dan juga kot yang dimilikinya sejak muda sehingga kini adalah hasil jahitan Nelsen yang berkualiti.

“Sebab itulah, mana-mana pelanggan tidak kira kaum yang datang ke sini menempah jahitan tidak akan pergi ke tempat lain, kerana kualiti jahitan Style Tailor tiada tandingan.

“Kalau jahitan kot yang agak rumit pun begitu baik dan sempurna, apatah lagi jahitan baju lain yang memuaskan hati siapa sahaja yang memakainya,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN