fbpx
LAGU I Ain't Worried nyanyian kumpulan OneRepublic menjadi runut bunyi filem Top Gun: Maverick.

Siulan organik I Ain’t Worried OneRepublic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAGU berjudul I Ain’t Worried dendangan kumpulan OneRepublic dipetik daripada album ‘soundtrack’ atau runut bunyi filem Top Gun: Maverick dan semakin hari, kian menjadi siulan ramai.

Hatta lagu nyanyian diva pop, Lady Gaga iaitu Hold My Hand sepatutnya yang menyita perhatian dunia, I Ain’t Worried kini berada di posisi antara tertinggi carta Today’s Top Hits dalam Spotify iaitu di kedudukan ketujuh (setakat ulasan ini ditulis). Sementelah lagu nyanyian Gaga hampir terkeluar dari carta berkenaan.

Hold My Hand mempunyai kualiti tersendiri sebagai sebuah antem bernuansa balada atau berentak perlahan. Kalau tiada aral melintang, barangkali lagu berkenaan mempunyai peluang cerah tercalon dalam acara berprestij seperti Grammy Awards dan bahkan, Academy Awards edisi akan datang.

Peluang cerah juga terbentang luas untuk album ‘soundtrack’ Top Gun: Maverick mencipta magis bagi kategori album.

Komersial

Sungguhpun begitu, dari sudut nilai komersial, impak ditinggalkan I Ain’t Worried tidak boleh dinafikan. Sebuah karya rancak, ‘high-pace’ yang sememangnya mudah melekat di halwa telinga para peminat.

Terutama pada zaman sekarang apabila TikTok mudah menjadi ejen ‘promosi’ lagu paling berkesan, itulah impak positif yang berlaku terhadap lagu berkenaan yang kian meroket dari segi jualan dan sekali gus, terus lazim di bibir para pendengar global.

ANTEM I Ain’t Worried menjadi siulan ramai dan disenarai antara muzik terbaik untuk ‘summer songs’.

Buat penulis secara peribadi, bukanlah seorang peminat yang sukakan lagu terkandung elemen atau bunyi siulan secara harfiah pada bahagian korus, namun I Ain’t Worried berjaya menukar persepsi tersebut.

Bukan menolak mentah-mentah lagu-lagu yang mempunyai bunyi siulan tetapi kalau ikut sejarah, sudah terlalu banyak karya yang diselitkan elemen tersebut.

Kalau boleh dinyatakan di sini adalah seperti Winds of Change nyanyian The Scorpions, Patience (Guns N’ Roses), Don’t Worry, Be Happy (Bobby McFerrin) serta termasuklah lagu popular Hindustan, Are Re Are dendangan mendiang Lata Mangeshkar dan Udit Narayan.

‘Sampling’ Young Folks

Bahkan, OneRepublic sendiri pernah menggunakan formula sama menerusi peluncuran lagu berjudul Good Life.

Kali ini, menggunakan ‘sampling’ siulan lagu Young Folks nyanyian Peter Bjorn and Joh. Ternyata, percubaan tersebut berbaloi.

Dari segi komposisi muzik, barangkali ramai yang menggemari melodi ‘upbeat’ yang dimainkan dalam I Ain’t Worried termasuklah penulis sendiri.

Sentuhan tersebut memiliki semangat atau motivasi muzik masa kini. Pada masa sama, turut disuntik elemen nostalgia yang membawa pendengar seperti berada di awang-awangan misalnya menikmati musim panas di kawasan pantai.

Summer song

Senang cerita, kalau di Hollywood atau negara Uncle Sam, I Ain’t Worried pantas dinamakan antara lagu yang menyelinap senarai ‘summer songs’.

DISUNTIK elemen siulan, I Ain’t Worried menggunakan paten sama dengan lagu-lagu popular lain seperti Patience dan Don’t Worry, Be Happy.

Dari segi penulisan lirik, apa yang disampaikan melaluinya hanya bersifat sederhana yang berkisar tentang kehidupan. Tiada apa yang perlu dirisaukan, jalani kehidupan dengan bergaya tanpa tekanan. Itulah antara intipati ringkasan lagu I Ain’t Worried.

Sekarang menjadi antara lagu siulan ramai terutama untuk kandungan pengguna dalam media sosial khususnya TikTok, I Ain’t Worried senang merasai atau menikmati populariti bersifat organik.

Perlahan-lahan mendaki carta dan sebenarnya, menjadi antara lagu dimuatkan dalam ‘soundtrack’ Top Gun: Maverick, itu sudah satu kejayaan membanggakan.

POPULAR