fbpx

Nyamuk suka individu darah O, bertubuh besar, wanita hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Individu berdarah O, mereka bertubuh besar selain wanita hamil antara enam ciri-ciri menyebabkan seseorang itu sering digigit nyamuk.

Menerusi perkongsikan pegawai perubatan swasta, Dr. Ahmad Samhan, jenis darah ini lebih manis malah, satu kajian mendapati ia mempunyai 83 peratus kebarangkalian lebih tinggi untuk digigit nyamuk, sebaliknya pula dengan darah jenis A.

Bagi individu bertubuh besar, menurut kajian, ia berkaitan kadar metabolisme dan jumlah karbon dioksida dibebaskan daripada badan sewaktu pembakaran tenaga.

“Nyamuk menggunakan gas karbon dioksida untuk mengesan sasaran mereka dan ia boleh dikesan dari jarak 50 meter jauh.

“Jadi lebih besar anda, lebih banyak gas karbon dioksida dibebaskan. Katakan anda bersaiz besar dalam kumpulan keluarga atau rakan, maka besarlah peluang untuk digigit nyamuk,” katanya.

Selain itu, wanita hamil juga antara sering digigit nyamuk dan satu kajian di Afrika mendapati, golongan ini dua kali ganda tinggi peluang digigit nyamuk atas sebab mereka membebaskan lebih banyak gas karbon dioksida.

“Dalam satu kajian pada 2002 mendapati wanita sarat mengandung membebaskan 21 peratus lebih banyak gas tersebut berbanding wanita biasa,” katanya.

Beliau berkata, nyamuk juga sering menggigit individu sedang bersenam kerana tertarik dengan asid laktik, kompaun yang dikesan dalam peluh malah, senaman meningkatkan haba tubuh turut menyumbang tarikan.

“Seterusnya memakai pakaian gelap dan ini logik paling asas iaitu nyamuk lebih tertarik kepada persekitaran gelap, maka pakaian anda juga memberi indikasi serupa.

“Dalam masa sama, nyamuk tertarik dengan individu kuat berpeluh kerana asid tertentu dalam tubuh badan seperti laktik dan urik serta kolesterol mempunyai kandungan steroid yang tinggi.

“Ia juga menarik nyamuk kerana orang jenis ini mempunyai kadar metabolisme tinggi selain memproses kolesterol lebih cepat daripada yang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI