BALING – Seorang mangsa banjir di sini terubat kesedihan kehilangan wang simpanan RM16,000 yang hanyut dalam tragedi itu apabila bakal menerima rumah baharu yang akan dibina Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Mohd. Zaidi Saad, 38, dari di Kampung Desa Keda Sadek, Kupang di sini kehilangan sejumlah wang itu yang dikeluarkan dari bank bagi membeli tanah.
“Saya sedih kerana wang simpanan sebanyak RM16,000 yang dikeluarkan untuk membeli tanah dan bina rumah turut hanyut.
“Wang yang saya simpan sedikit demi sedikit dan baru sahaja dikeluarkan dari bank itu hilang sekelip mata,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, kesedihan akibat kehilangan rumah dan harta benda sedikit terubat apabila kerajaan bakal membina rumah buat mangsa terjejas teruk.
Kepala air yang melanda penduduk Kampung Iboi di Kupang pada 4 Julai itu telah merosakan banyak harta benda.
Seorang lagi mangsa, Nor Azlina Mohd Khoiri, 30, berkata, tragedi kepala air itu sangat menakutkan apabila rumah sewa didiaminya sejak lebih 14 tahun lalu lenyap dibawa arus deras.
“Saya rasa sedih dan pilu selepas melihat keadaan rumah yang rosak teruk dan terfikir tiada lagi kediaman untuk saya dan keluarga tinggal,” katanya.
Menurutnya, dia bagaimanapun lega apabila dimaklumkan bakal ditempatkan di perumahan teres di Kampung Desa Keda Sadek terletak berdekatan.
“Buat sementara waktu saya sekeluarga akan menyewa rumah yang mana pembinaan rumah baharu dijangka memakan masa enam bulan untuk disiapkan,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan KPLB akan membina 21 buah rumah baharu untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian kepala air dan banjir di Kupang di sini pada 4 Julai lalu.
Pembinaan rumah jenis teres di atas tanah seluas lebih satu hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di Desa KEDA Sadek, Kupang itu dianggarkan menelan belanja RM1.5 juta.














