SHAH ALAM – Cuba bunuh diri dengan terjun dari jambatan dan terpaksa menjual semua barang kemas antara derita terpaksa dialami isteri yang memegang status ‘gantung tidak bertali’.
Malah ada isteri yang ditinggalkan suami sehelai sepinggang apabila ketua keluarga itu melarikan diri daripada apabila berdepan masalah kewangan.
Lebih berat dugaan isteri apabila dihalau dari rumah sewa ekoran tidak mampu melangsaikan sewa bulanan sehingga wanita berkenaan bersama anak-anak tidak mempunyai kediaman tetap dan hidup ala kadar.
Seorang wanita mahu dikenali Rahimah, 40-an, berkata, episod malang hidupnya bermula sejak tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya pada awal tahun lalu.
Katanya, perpisahan berlaku berikutan bapa kepada tiga anaknya itu enggan memikul tanggungjawab dengan alasan dibelenggu masalah kewangan akibat pandemik Covid-19 dan ekonomi tidak menentu.
“Sejak itu, hidup saya bersama anak berusia lapan hingga 16 tahun kini terumbang ambing tanpa sebarang nafkah dan gagal mengesannya.
“Akibat tekanan ditambah kos sara hidup tinggi, saya pernah cuba mahu membunuh diri (terjun jambatan), namun terhenti kerana memikirkan nasib anak-anak yang masih bersekolah,” katanya.
Rahimah yang bekerja di sebuah kilang di Lembah Klang memaklumkan kini terpaksa terus mengerah keringat mencari rezeki dan menyerahkan semuanya kepada ketentuan Allah.
Kosmo! kelmarin melaporkan ramai suami di Selangor sanggup meninggalkan isteri dengan digantung tidak bertali angkara masalah kewangan ekoran tidak lagi mampu menanggung keluarga akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) , Siti Kamariah Ahmad Subki memaklumkan dianggarkan 12 hingga 15 peratus daripada 397 kes yang direkodkan di Selangor tahun lalu melibatkan pengabaian kewangan oleh suami terhadap keluarga.
Wanita yang digantung tidak bertali itu bukan sahaja daripada golongan B40 dan M40 yang menerima impak kenaikan kos sara hidup, malah ada daripada kumpulan T20 yang kini mengalami masalah kewangan yang teruk.
Seorang lagi isteri, Shila (bukan nama sebenar), 50-an, pula berkata, dia pernah beberapa kali dihalau dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar bulanan berjumlah RM600 sebulan.
“Sejak suami menghilangkan diri pada awal 2020, saya bersama dua anak perempuan berusia 14 dan 16 tahun hanya bergantung dengan pendapatan sebagai tukang cuci.
“Gaji bulanan saya kadang kala tidak mencukupi sehingga pernah dihalau pemilik rumah kerana tunggakan sewa,” ujarnya sedih.
Tambah wanita itu, dia tiga beranak terpaksa mengikat perut dan menjual semua barang kemas yang ada demi kelangsungan hidup. -KOSMO! ONLINE














