fbpx

Sewa bulanan ditukar deposit, skim jaminan kredit bantu miliki rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI (empat dari kanan) merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda 2020 di Padang Awam Felda Rentam di sini hari ini.

BERA – Bagi membantu dan meringankan beban generasi baharu Felda memiliki rumah sendiri kerajaan bersetuju menjadikan sewa bulanan yang dibayar penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) ditukarkan kepada deposit pembelian rumah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukkan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman perumahan yang bakal dibuat generasi baharu Felda.

“Pada hari ini saya ingin mengumumkan bahawa RM7.6 juta sewaan bulanan yang telah dibayar oleh 2,025 penghuni PGBF serta sewaan yang akan dikutip selepas ini dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman PGBF tersebut.

“Sebagai contoh bayaran sewaan selama 36 bulan berjumlah RM10,800 akan dijadikan deposit lantas mengurangkan pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 kepada RM79,200 sahaja,”katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2020 di Padang Awam Felda Rentam di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, baki 1,400 unit PGBF yang belum disiapkan dengan kos pembangunan keseluruhan RM204 juta diseluruh negara akan diteruskan melalui inisiatif pembiayaan swasta yang mana pihak pemaju akan menanggung kos pembinaan tanpa memerlukan dana daripada Felda.

Beliau memberitahu projek rintis ini akan dilaksanakan di Felda Bukit Aping Timur dan FELDA Pasak di Johor serta Felda Chiku 5 di Kelantan.

Tambahnya, penambahbaikan kepada model PGBF yang lebih mampan juga telah dilaksanakan dengan pengenalan inisiatif lot generasi Felda yang mana sehingga kini, sebanyak 8,670 unit lot dikenal pasti seluruh negara.

“Buat masa ini inisiatif ini akan dilaksanakan di negeri Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Kelantan dan Kedah. Di Parlimen Bera ini sahaja, sebanyak 250 lot telah dikenal pasti iaitu di Felda Kumai dan Felda Triang 1.

Sementara itu beliau berkata, bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan dalam kalangan generasi baharu, Felda telah memperuntukkan dana pusingan sebanyak RM10 juta bagi tujuan tersebut.

Ujarnya, pinjaman tanpa faedah itu diberikan dengan nilai minimum RM5,000 hingga maksimum RM20,000 mengikut pakej dan usahawan belia Felda dari seluruh negara yang bermina boleh mula membuat permohonan bermula Ogos ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI