fbpx

Ganti rugi RM3.1 juta kes terpotong kepala zakar, kerajaan fail rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Lumpur - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan ganti rugi RM3.1 juta kepada seorang pemuda berusia 22 tahun yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan 12 tahun lalu selepas mendapati hospital cuai dalam kejadian itu.

Peguam Persekutuan K.Saravanan ketika dihubungi media, berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili semua defendan sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan terbabit di Mahkamah Rayuan pada 27 April lalu.

Katanya, pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 27 Julai ini di Mahkamah Rayuan, Putrajaya yang akan dijalankan secara e-Review.

Pada 7 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman kecuaian yang difailkan pemuda berkenaan terhadap Kerajaan Malaysia, Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang, Pengarah Hospital, doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor.

Dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan ganti rugi khas RM108,356, ganti rugi  RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000 dan ganti rugi teladan RM500,000 kepada mangsa.

Hakim Akhtar dalam penghakimannya berkata kelewatan Hospital Kuala Lipis, Hospital Selayang dan beberapa pegawai perubatan termasuk doktor pakar mengambil langkah pantas untuk menyelamatkan kepala zakar yang terpotong menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa.

Beliau berkata, daripada bertindak untuk menghantar mangsa ke Hospital Selayang dengan cepat, defendan pertama yang juga pegawai perubatan di Hospital Kuala Lipis sebaliknya melakukan perkara remeh temeh.

Katanya, keterangan saksi plaintif dan defendan turut menunjukkan prosedur yang sepatutnya dilakukan ialah bukannya menyambung semula kepala zakar yang terputus tetapi memelihara kepala zakar terbabit.

Hakim itu turut menyentuh mengenai tiada ganti rugi dapat menggantikan aset paling berharga seorang lelaki dan kesengsaraan serta perasaan malu mangsa disebabkan ‘kehilangan’ itu.

Walaupun begitu, katanya mahkamah perlu memberikan ganti rugi yang boleh membantu mengurangkan beban mangsa dan keluarga untuk membantunya mendapatkan semula keyakinan bersosial seperti manusia normal yang lain.

Berdasarkan saman yang difailkan pada 10 Julai 2018 oleh mangsa melalui ibunya ketika berusia 18 tahun, menyatakan insiden berlaku di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis ketika mangsa berusia 10 tahun mengakibatkan keseluruhan kepala zakar mangsa terpotong dan penyambungan semula tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul.

Plaintif mendakwa, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang bagi prosedur pembedahan menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar.

Selepas masuk hari ke-35, plaintif berkata beliau terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi berada pada batang zakarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI