fbpx

Bayar zakat RM50,000, Aeril Zafrel dapat anugerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selebriti dan usahawan popular, Aeril Zafrel meraih penghargaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana melaksanakan bayaran zakat melebihi RM50,000 pada tahun ini.

Menerusi hantaran dalam Instagram, suami kepada pelakon Wawa Zainal itu memuatnaik gambar plak penghargaan yang diterima daripada LZS.

“Terima kasih Respected Citizen Sdn Bhd kerana membantu asnaf di Selangor dengan menunaikan zakat melebihi RM50,000,” itu penerangan yang tertulis di plak tersebut.

Pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu turut menyeru orang ramai menunaikan kewajipan membayar zakat bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Alhamdulillah dapat penghargaan daripada Pusat Zakat Selangor untuk tahun ini. Mari ramai-ramai kita tunaikan kewajipan.

Tujuan memuatnaik gambar dan penghargaan daripada LZS bukan untuk menunjuk, sebaliknya ingin menghebahkan kepada semua mengenai kewajipan berzakat terutama bagi mereka yang menjalankan perniagaan.

“Diharap perkongsian ini turut menjadi dorongan kepada semua dan supaya lebih ramai lagi yang menunaikan kewajipan,” katanya.

Terdahulu, pemilik nama Aeril, 33, pernah dilabel suka menunjuk-nunjuk apabila membuat perkongsian menunaikan zakat setiap bulan.

Aeril sebelum ini pernah membuat pendedahan berniat mahu menunaikan zakat sebulan sekali untuk zakat perniagaan, berbanding setahun sekali.

Sementara itu, LZS dalam hantaran di Facebook menzahirkan ucapan terima kasih kepadanya kerana membantu golongan asnaf di negeri itu.

“Alhamdulillah! Terima kasih Aeril Zafrel kerana terus menyokong dan membantu asnaf di Selangor.

‘Jom sama-sama kita doakan moga harta beliau terus subur untuk bantu mereka yang memerlukan,” tulisnya.

Perkongsian LZS mendapat perhatian ramai yang memuji sikap Aeril selain menyatakan dia antara usahawan contoh atas tanggungjawab terhadap komuniti.

Malah ada dalam kalangan netizen mengakui sikap ditunjukkan Aeril dapat menyuntik kesedaran kepada mengenai kelebihan membantu saudara seagama yang memerlukan.

“Ada orang kata menunjuk-nunjuk. Itu bukan menunjuk, tapi lebih kepada memberi motivasi dan kesedaran kepada orang-orang kaya kat Malaysia ini akan tanggungjawab sesama muslim.

“Biasa kalau ada benda-benda macam ini nanti ramai lah yang akan ikut,” tulis seorang pengguna Facebook. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI