fbpx

6 lelaki didenda RM1,000, bergaduh pukul 3 pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesemua tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Enam lelaki diarah membayar denda sebanyak RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah bergaduh di sebuah pusat hiburan pada pukul tiga pagi, sekitar Taman Melaka Raya, awal bulan ini.

Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh iaitu Muhammad Farid Mail, 23; Muhammad Ramdhan Omar,24; Muhammad Danish Fahmi Rosdi, 22; Muhammad Firduwan Jaafar, 23; Hasroy Hasnan, 30 dan Ahmad Irwan Azman, 31, mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati secara bersama-sama telah melakukan gaduh gempar dengan bergaduh di tempat awam sehingga mengganggu keamanan dan ketenteraman awam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pengadu bersama rakannya telah dipukul oleh sekumpulan lelaki Melayu tidak dikenali menggunakan botol sehingga mengalami kecederaan.

Kejadian berlaku disebabkan pengadu cuba meleraikan perselisihan faham membabitkan seorang individu dikenali sebagai Onet. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI