fbpx
ROSMAN melihat gambar kenangan majlis pernikahan Allahyarham Hajar Nursyahirin dan suaminya ketika ditemui di Permas Jaya, Johor Bahru baru-baru ini.

Keluarga mangsa bunuh sentiasa reda, bersabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Keluarga mang­sa kes pembunuhan dua beranak termasuk seorang bayi di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu di sini tetap reda de­ngan pemergian dua insan tersayang itu sekalipun kejadian tersebut amat mengejutkan.

Rosman Ahmad, 58, iaitu bapa kepada Allahyarham Hajar Nursyahirin, 26, berkata, sebarang tindakan yang dilakukan ketika ini bukanlah kerana terpaksa atau tidak boleh menerima hakikat, sebaliknya ia sebagai tanda keluarga untuk mengenang dan melepas rindu kepada arwah.

“Saya simpan dan parkir kereta Perodua Bezza milik anak perempuan saya di depan kedai sebagai tanda kenangan kami kepada dia.

“Saya tidur dalam kereta, itu adalah salah satu cara untuk melepaskan rindu yang terbuku di hati, tiada niat atau buat kerana terpaksa, semuanya saya lakukan kerana ikhlas dan sayang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, sambutan Hari Raya Aidil­adha tahun ini diraikan secara sederhana dan keluarganya tidak memasak juadah rendang se­perti sebelum ini.

Pengusaha kedai makan itu sebaliknya memberitahu, dia telah meminta salah seorang pekerjanya untuk memasak juadah berkenaan dan menghantar makanan yang telah siap ke rumahnya pada malam menjelang hari raya.

Ini kerana katanya, tugas memasak khususnya rendang ayam dan daging kebiasaannya dilakukan Nursyahirin yang memang merupakan tukang masak antara enam adik beradik.

“Biasanya apabila tiba sambutan hari raya, sama ada Aidilfitri atau Aidiladha, memang Nursyahirin yang akan banyak menyedia­kan makanan, ini kerana antara enam beradik, dia yang banyak mewarisi minat dan kebolehan untuk memasak.

“Menu utama yang akan disedia­kan sudah tentu rendang, ayam dan daging, itu dia akan sediakan bersama-sama ibunya setiap kali tiba hari perayaan.

“Namun, dengan kejadian yang baharu berlaku ini, saya dan isteri serta ahli keluarga yang lain tidak melakukan per­se­­dia­an berlebihan untuk menyambut Aidiladha seperti selalu, hanya buat persiapan sekadar sahaja,” katanya.

Tambah Rosman yang telah memasak sejak lebih 30 tahun itu lagi, dia dan keluarganya menyambut Aidiladha secara sederhana di kediaman keluarga di Taman Sentosa, di sini.

“Biasanya apabila tiba Aidilfitri atau Aidiladha, kami sekeluarga akan pulang beraya di Gombak, Kuala Lumpur, kerana memang saya berasal dari sana dan ramai ahli keluarga terma­suk adik beradik saya yang lain tinggal di kawasan sekitar.

“Setiap tahun memang begitu, namun setelah kejadian ini berlaku, dan ia pun masih sangat baharu lagi, kami sekeluarga ambil keputusan untuk beraya di sini sahaja,” jelasnya.

Rosman berkata, mereka turut me­laksanakan ibadah korban, dengan niat untuk menyedekahkan pahala ibadah berkenaan kepada Allahyarham beserta anak lelakinya, Hans Mohd. Thakif.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, Hajar Nursyahirin dan bayi lelaki­nya, Hans Mohd. Thakif ditemui maut di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari dengan kesan kelar di bahagian leher. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN