fbpx
CHE TA dan anaknya, Aaisyah.

Che Ta bidas netizen kritik Aaisyah suka bersolek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – “Tolong dengar! Hampa (kalian) tak nak siapkan anak, itu masalah hampa. Anak kami (saya) memang suka bersiap. Takkanlah dia nak melaram kami nak larang.”

Demikian tegas dramatis Rozita Che Wan atau Che Ta yang barangkali rimas dengan kritikan dan kecaman netizen terhadap anak perempuan kesayangannya, Aaisyah Dhia Rana yang gemar bersolek dan berdandan biarpun masih kanak-kanak.

Kata Che Ta, Aaisyah yang kini berusia tujuh tahun sememangnya gemar bersolek dan anaknya itu sama seperti kanak-kanak lain yang akan mengamuk serta menangis sekiranya dilarang melakukan sesuatu yang disukainya.

“Anak saya memang suka pakai mekap dan melaram. Karang kalau marah dia, melakak dan merajuk. Jadi satu kerja pula nak pujuk, tak memasal.

“Mak dia ratu Malaysia dulu kot, yang hampa pun. Mana tak tumpah kuah kalau tak ke spageti, tak gitu? (seloroh). Ke atas nasi lah hampa. Saja nak melawak. Kadang-kadang saya pun pening tau,” kata Che Ta menerusi kapsyen sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya.

Akui pelakon drama Mem & Bibik Bibik itu lagi, dia sering dikritik tidak pandai menjaga anak hanya kerana membiarkan Aaisyah bersolek seperti orang dewasa.

Tetapi katanya, sama seperti orang lain ketika zaman kecil, kita tetap akan melakukan apa yang ditegah ibu bapa contohnya terjun ke dalam sungai dan itulah yang dilakukan Aaisyah pada fasa usianya kini.

“Yang komen semua guna akaun palsu. Sekali libas guna bulu mata saya yang setebal tujuh petala langit ni baru tahu.

“Karang tak ‘letup’, kata tak pandai jaga anak. Kalau ‘letup’ sangat kata kasihan zaman budak-budak. Macam kalian dulu-dulu waktu kecil suka mandi sungai. Mak ayah larang pun, tetap terjun sungai kan. Begitulah anak saya,” luahnya.

Dalam video dikongsi, pelakon berusia 50 tahun itu berkata, dia pernah dikritik kerana mahu dirinya kelihatan muda tetapi membiarkan Aaisyah nampak tua berbanding usia kanak-kanak.

Bagaimanapun jelas Che Ta, itu adalah kemahuan Aaisyah sendiri yang gemar bersolek biarpun ketika sedang menikmati air Milo ais di rumah.

“Anak sendiri yang tak sabar nak tua. Ini dia sendiri yang mekap. Nak mengadap Milo ais pun mekap tau, dia peduli apa. Itu hobi dia. Celik mata saja, tak gosok gigi lagi dah pakai lipstik. Nak buat macam mana.

“Orang yang mengata itu sakit hati tengok kami cantik, gambar raya ‘meletup’ macam puteri raja. Anak kita ini anak artis, dah dia memang suka mekap nak buat macam mana. Kalian jaga anak sendiri sudah lah,” ujar Che Ta.

Sebelum ini, Che Ta pernah dikecam kerana membiarkan anaknya itu berdandan seperti orang tua dan memakaikannya dengan barangan kemas.

Malah sebuah video Aaisyah lincah menari mengikut rentak lagu Blackpink dikecam kerana dianggap keterlaluan bagi kanak-kanak seusianya.

Aaisyah merupakan anak hasil perkahwinan Che Ta bersama pelakon Zain Saidin pada 2013 selain turut mempunyai dua orang anak iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra hasil perkahwinan bersama suami pertamanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR