fbpx

Bekalan air seluruh Pulau Pinang pulih malam tadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Bekalan air kepada pengguna di seluruh negeri ini pulih sepenuhnya semalam selepas terputus lebih 80 jam di beberapa kawasan sejak Rabu lalu berikutan penutupan sementara loji rawatan air (LRA) Sungai Dua dan kejadian paip pecah di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

Menurut kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), bekalan air kembali pulih di kawasan yang terjejas kira-kira pukul 11 malam tadi.

“PBAPP mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu secara langsung atau tidak dalam memulihkan bekalan air di negeri ini.

”PBAPP juga memohon maaf kepada semua pengguna air atas kesulitan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Operasi loji rawatan air (LRA) di Sungai Dua terpaksa dihenti tugas selama empat jam Rabu lalu kerana kadar kekeruhan air mentah yang tinggi di Sungai Muda susulan banjir di Baling, Kedah.

Susulan penutupan itu, 80 peratus pengguna atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun di seluruh negeri itu terputus bekalan air dan mengakibatkan kesukaran kepada para pengguna.

Menjawab persoalan mengenai tempoh lama untuk memulihkan bekalan air terawat di Pulau Pinang, menurut PBAPP, terdapat 59 kolam air terawat dan 42 menara air terawat di Pulau Pinang.

”Kira-kira 80 peratus daripada kolam air dan menara air ini perlu diisi dengan air yang mencukupi sebelum 80 peratus daripada 95 rumah pam penggalak di Pulau Pinang dapat dimulakan semula secara manual untuk mengepam air kepada pengguna yang terjejas.

”Kira-kira 4,696 kilometer saluran paip (100mm dan ke atas) telah dipasang untuk menghantar bekalan air kepada kira-kira 660,000 pengguna air berdaftar di Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, kira-kira 80 peratus daripada saluran paip itu telah dikosongkan daripada air berikutan penutupan LRA Sungai Dua pada 6 Julai lalu.

”Oleh itu, kakitangan PBAPP terpaksa melepaskan “sendat udara” secara manual sebelum tekanan saluran paip boleh dinormalkan.

”Bekalan air untuk pengguna terjejas yang tinggal di kawasan tanah tinggi atau hujung paip agihan (HPA) di Pulau Pinang hanya boleh dipulihkan selepas bekalan air pulih di kawasan lebih rendah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI