fbpx

Pengawal keselamatan bawa pedang samurai ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pengawal keselamatan ditahan kerana membawa pedang samurai dalam keretanya di Sitiawan, awal pagi tadi.

LUMUT – Tindakan seorang pengawal keselamatan membawa pedang samurai dalam keretanya membawa padah apabila ditahan polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah sekitar pekan Sitiawan, kira-kira pukul 5.30 pagi.

“Ketika melakukan rondaan, anggota tersebut melihat sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

“Apabila diperiksa, polis menemui sebatang sarung besi panjang dan sebilah pedang samurai dalam kereta jenis Honda Civic Ferio yang dipandunya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kes pergaduhan.

Beliau memaklumkan, siasatan awal mendapati pedang itu milik suspek yang sentiasa berada dalam keretanya dan digunakan sewaktu menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan.

Jelas beliau, ketika ditahan suspek baru selesai minum dengan rakannya di sebuah kafe di Sitiawan.

Nor Omar menjelaskan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI