fbpx
Penduduk ketika menunggu giliran menadah air dari pili bomba yang terdapat di blok 24, Flat Bukit Gedung, Bayan Baru hari ini.

Penduduk flat Bukit Gedung sengsara lebih 72 jam tiada air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Hampir 1,000 penduduk flat Bukit Gedung, Bayan Baru di sini dibelenggu sengsara ekoran mengalami masalah bekalan air terputus lebih 72 jam sejak Rabu lalu.

Rata-rata penghuni di 20 buah blok aras tiga hingga lima flat itu terpaksa mengangkut air dan beratur panjang hampir setengah jam bagi menadah air dari pili bomba.

Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Type R Bukit Gedung, Mohd Farook Hassan Ali berkata, penduduk kini buntu memikirkan sumber bekalan air bersih dan hanya bergantung pada satu pili bomba yang terdapat di bawah blok 24.

Menurut beliau, penduduk terutama warga emas kini semakin tertekan dengan situasi yang berlaku memandangkan mereka tidak berupaya lagi mengangkat bekalan air naik ke tingkat atas rumah.

“Sudalah esok Raya Haji, penduduk dikatakan langsung tidak berkesempatan membuat sebarang persiapan disebabkan masalah tersebut. Jika sehari tiada air, itu boleh bersabar lagi. Ini sudah masuk tiga hari.

“Kami baru sekali sahaja menerima air dari lori tangki pada petang semalam. Hari ini, sudah tidak nampak kelibat kenderaan berkenaan masuk ke kawasan perumahan ini.

“Bekalan air hanya ada di aras satu dan dua sahaja. Bayangkan, bekalan air yang dibawa naik dikatakan hanya mampu bertahan kurang setengah hari sahaja, itupun jika jumlah isi rumah tidak ramai,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid, 50-an pula memberitahu, dia tidak sanggup lagi beratur panjang di bawah terikan matahari hampir setengah jam semata-mata mahu menadah dua besen air.

“Ramai orang menunggu giliran menadah air dari pili bomba. Persiapan raya esok memang terjejas. Saya harap pihak berkuasa dengar rintihan kami ini dan membawa masuk lori tangki bagi kemudahan penduduk bagi membuat persiapan raya malam ini.

Sementara itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan kerja-kerja pembaikan paip 600mm (MS) (S-BEND) di Jalan Sultan Azlan Shah (Kampungku) Gelugor tidak dapat diteruskan akibat masalah di tapak.

“Namun demikian sebagai langkah alternatif, PBAPP akan membuat pemasangan Injap Isolasi (Isolation Valve) bagi membolehkan bekalan air dapat dipulihkan semula. Pemasangan Injap telah dimulakan dan dijangka dapat diselesaikan pada pukul 11 malam, 9 Julai,” katanya di sini. KOSMO! ONLINE

POPULAR