GUA MUSANG – Sebanyak 20 rumah di Kampung Sungai Tah, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Limau Kasturi di sini terputus bekalan air sejak empat hari lalu, sekali gus menjejaskan rutin harian penduduk pada awal Ramadan.
Ketiadaan bekalan air selama empat hari berturut-turut itu memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk pada awal Ramadan apabila ramai terpaksa menadah air hujan untuk mandi dan mencuci pakaian.
Seorang penduduk, Ahmad Ab. Rahman, 48, berkata, masalah belakan air terputus amat mencabar terutamanya melibatkan keluarga yang mempunyai warga emas dan anak kecil.
Katanya, mereka terpaksa berjimat menggunakan air simpanan yang semakin berkurangan dan menadah air hujan bagi kegunaan harian.
“Saya terpaksa mengeluarkan kos lebih RM500 bagi membeli tangki air untuk diletakkan di hadapan rumah bagi menadah air hujan. Air minuman pula dibeli untuk memasak juadah berbuka serta sahur.
“Saya dan keluarga terpaksa berjimat menggunakan air yang ditadah setiap kali hujan. Saya sudah melaporkan kepada pihak Air Kelantan Sdn. Bhd dan setakat ini masih tiada tindakan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Hasif Adhwa Ahmad, 22, pula berkata, situasi itu menyukarkan urusan seharian dan menjejaskan persiapan berbuka puasa apabila bekalan air paip masih belum dipulihkan sepenuhnya oleh Air Kelantan Sdn. Bhd.
Katanya, masalah itu sepatutnya diatasi segera kerana bulan Ramadan memerlukan penggunaan air yang lebih kerap bagi penyediaan makanan dan kebersihan diri sebelum menunaikan ibadah.
“Kami harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera kerana keadaan ini sangat membebankan penduduk terjejas terutama peniaga kuih di bulan Ramadan.
“Kami berharap masalah gangguan bekalan air itu dapat diselesaikan segera bagi memastikan urusan harian sepanjang bulan Ramadan lancar,” katanya.













