fbpx

Pearly-Thinaah lakar kejutan sensasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
THINAAH (kanan) dan Pearly mencipta kejutan menewaskan beregu No.2 dunia dari Jepun untuk melangkah ke suku akhir Malaysia Masters. GAMBAR - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Tiga kali naib juara dunia dari Jepun, Sayaka Hirota dan Yuki Fukushima ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua Malaysia Masters 2022 oleh beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah.

Ia merupakan kejayaan sensasi daripada Pearly-Thinaah selepas menang 21-14, 21-19 ke atas beregu No.2 dunia itu di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini untuk menempah tiket ke suku akhir esok.

Kemenangan tersebut telah mengubat kekecewaan pasangan negara di ranking ke-10 dunia itu selepas terdahulu mereka terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia minggu lepas.

“Kami bermain dengan bagus di permulaan set tetapi kemudian kami hilang fokus dan pasangan Jepun juga semakin bagus membaca permainan kami.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih keranan ingatkan kami untuk lebih agresif dan akhirnya kami berjaya menewaskan mereka,” jelas Thinaah selepas tamat perlawanan hari ini.

Di suku akhir esok, Pearly-Thinaah akan bertemu juara Terbuka Malaysia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia yang menewaskan pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-18, 21-17.

Satu lagi beregu wanita hari ini, Anna Cheong-Teoh Mei Xing turut cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas menang 21-11, 21-15 ke atas pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.

WOOI YIK (kiri) dan Aaron tidak berdepan masalah menempah tiket ke suku akhir Malaysia Masters selepas menang ke atas beregu Korea Selatan di Axiata Arena hari ini. GAMBAR – AMIR KHALID

Turut mengiringi kejayaan dua beregu wanita itu ke suku akhir esok ialah beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas menang 21-18, 21-18 ke atas Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan berdepan pasangan Taiwan, Chang Ko Chi dan Po Li Wei yang mengecewakan satu lagi wakil negara, Yee Jun Chang-Yap Roy King keputusan 14-21, 21-11, 21-10.

Satu lagi wakil negara, Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri yang dikenali sebagai Patatimo Boys juga akan beraksi di suku akhir selepas menewaskan Man Wei Chong-Kai Wun Tee 21-18, 21-14.

Wakil tunggal perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong bagaimanapun gagal meneruskan perjalanannya apabila tumbang kepada pilihan keempat kejohanan dari Taiwa, Chou Tien Chen 18-21, 16-21. – KOSMO ONLINE!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI