PETALING JAYA – Pemilik pawagam mempunyai kuasa mutlak dalam proses penjumlahan pungutan jualan tiket selama ini tanpa ada semak imbang daripada pihak berwajib lain.
Penerbit filem, Azharul Amir berkata, tiada medium lain yang boleh mengisytiharkan jumlah pungutan tiket filem yang telah berjaya dijual selain daripada pihak pawagam itu sendiri.
“Kalau pawagam kata pungutan filem kita sejuta, maka kita kena percaya sahaja. Kalau dia kata dapat RM100,000, maka kita hanya terima.
“Sepatutnya biarlah ada satu medium yang boleh kita atau penonton sendiri ekses dan lihat bagaimana pencapaian setiap filem kita,” katanya kepada Kosmo!.

Azharul yang juga penerbit filem Prebet Sapu berkata, keadaan industri perfileman yang dimonopoli oleh pawagam perlu diubah serta-merta bagi melihat kejayaan industri dalam jangka masa panjang.
Ketika tayangan filem Prebet Sapu tahun lalu katanya, terdapat pawagam yang didakwa tidak menayangkan filem itu dengan alasan tiada sambutan.
Ujarnya, perkara tersebut disedari setelah pihak syarikatnya memantau perkembangan tayangan di beberapa pawagam di Malaysia.
“Terdapat satu rombongan pelajar yang telah menempah tiket tayangan filem Prebet Sapu, namun tidak dibenarkan menonton filem itu.
“Pihak pawagam gantikan dengan filem Spiderman, namun pelajar tersebut membantah. Dalam konteks ini kita boleh lihat segala keputusan dibuat oleh pawagam itu sendiri,” dakwanya.














