PETALING JAYA – Bekalan ubat untuk kegunaan melegakan sakit kepala iaitu parasetamol semakin sukar didapati di farmasi mahupun kedai serbaneka ketika ini.
Perkara itu berlarutan sejak awal tahun ini sehingga menyebabkan banyak farmasi dan kedai yang terpaksa mencatu stok parasetamol.
Tinjauan Kosmo! di beberapa premis dan farmasi di Petaling Jaya mendapati, stok parasetamol bagi jenama Panadol masih sukar diperolehi, malah kebanyakan premis terputus bekalan sejak awal tahun.
Seorang pembantu farmasi dikenali Batrisyia, 19, berkata, premisnya sudah enam bulan tidak menerima stok parasetamol.
“Setiap hari pelanggan yang berkunjung ke premis mencari (jenama) Panadol sehingga saya pening untuk menjelaskan kepada mereka.
“Buat masa sekarang saya hanya menjual parasetamol dalam kotak. Kalau stok dalam bentuk papan memang susah nak dapat. Harga kotak juga lebih mahal berbanding yang biasa,” katanya.
Ujarnya, harga pasaran bagi satu papan parasetamol itu antara RM4 hingga RM8, manakala bagi kemasan kotak antara RM8 sehingga RM15.
Seorang pengurus farmasi, Rozida Mohd., 29, berkata, premisnya juga berdepan dengan masalah kekurangan ubat ‘pain killer’ itu sejak Januari lalu.
“Kalau pelanggan datang, saya sedaya upaya akan menyarankan alternatif lain. Selalunya saya akan mencadangkan pelanggan untuk membeli ubat tahan sakit yang lain mengikut kepada tahap kesakitan yang dialami,” jelasnya.
Bagi pembantu kedai serbaneka, Mohd. Fikri Mustafa, 24, berkata, dia berharap agar pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah ini supaya dapat memudahkan para peniaga.
Fikri menjelaskan, sejak fasa peralihan ke endemik premisnya menerima satu kotak parasetamol sahaja daripada pembekal.
“Satu kotak yang kami terima tu hanya mengandungi 10 papan ubatan itu. Selalunya 10 papan dalam masa dua hari akan habis terjual.
“Ekoran stok yang makin susut menyebabkan kebanyakan pelanggan akan membelinya sekotak sekali gus,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Wafi Aziz, 32, memberitahu, dia sentiasa menyimpan stok parasetamol di rumah lebih-lebih lagi dengan situasi ramai dijangkiti demam pada masa ini.















