fbpx

Jiran khianat bakar rumah pasangan warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah pasangan warga emas yang terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di Kampung Geting, Tumpat hari ini. FOTO IHSAN POLIS

TUMPAT – Pasangan suami isteri warga emas berdepan detik cemas selepas rumah mereka terbakar akibat perbuatan khianat yang dilakukan oleh jiran dalam kejadian di Kampung Geting, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan selepas mangsa membuat laporan polis beberapa jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, sebelum kejadian, mangsa berusia 75 tahun yang tinggal bersama isterinya melihat kelibat seorang lelaki telah membaling satu objek disyaki bahan api ke arah bumbung rumah mereka.

Menurutnya, perbuatan itu menyebabkan rumah mangsa terbakar sebelum warga emas menghubungi anak perempuannya yang terus memaklumkan kejadian tersebut di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor.

“Kebakaran dapat dikawal oleh pihak bomba, namun keseluruhan peralatan dan perabot di dalam rumah musnah. Warga emas itu hanya sempat menyelamatkan sebuah motosikal dan kereta.

“Siasatan mendapati, mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM350,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Amran, mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.08 pagi tadi dan polis terus menahan suspek yang dikenali sebagai Amin.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek pagi esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan api. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI