fbpx

77 orang terkorban akibat hujan lebat di Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk membersihkan serpihan rumah yang rosak akibat hujan lebat di pinggir Quetta baru-baru ini. – AFP

ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 77 orang dilaporkan terkorban setakat ini akibat hujan lebat yang melanda seluruh Pakistan, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.

Menteri Persekutuan bagi Perubahan Iklim, Sherry Rehman berkata, hampir separuh kematian berkenaan dilaporkan di wilayah Balochistan.

“Angka kematian termasuk kanak-kanak, lelaki dan wanita dewasa. Kami cuba menyelamatkan penduduk menerusi bantuan oleh pihak berkuasa pengurusan bencana dan wilayah,” kata Sherry.

Menurutnya, banjir itu dilaporkan berlaku di kawasan bandar Quetta, Pasni dan Turbat dalam wilayah Balochistan.

“Paras air terus meningkat dan orang ramai perlu berhati-hati kerana corak monsun berubah. Pada masa ini, hujan di seluruh Pakistan adalah 87 peratus lebih banyak berbanding purata sebelum ini.

“Ini sudah pasti tragedi negara apabila begitu ramai orang kehilangan nyawa. Hujan monsun datang lebih awal daripada jangkaan tahun ini,” katanya kepada pemberita.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah Balochistan berkata, darurat bencana diisytiharkan di daerah Quetta, Balochistan selepas 20 orang dilaporkan terkorban. Mangsa yang maut termasuk enam wanita daripada keluarga yang sama.

“Ini baru permulaan dan kita perlu lebih bersedia,” kata Sherry sambil menambah, Kementerian Perubahan Iklim telah mengeluarkan amaran kepada pihak berkuasa pengurusan bencana nasional dan wilayah supaya sentiasa berwaspada serta bersedia untuk menangani situasi kecemasan.

Balochistan menerima 274 peratus lebih banyak hujan berbanding jumlah purata, manakala hujan di Sindh adalah 261 peratus lebih tinggi daripada purata. Hal itu ditegaskan oleh Sherry sebagai ‘membimbangkan’.

Peningkatan kadar hujan di Azad Jammu dan Kashmir ialah 49 peratus sementara wilayah  Gilgit-Baltistan, Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa menerima hujan kurang berbanding purata pada bulan Julai. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI