fbpx

‘Orang Penang’ panik bekalan air terputus, serbu kedai beli stok mineral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara reaksi panik yang dilakukan penduduk susulan gangguan bekalan air di sini.

GEORGE TOWN – Pengguna di negeri ini mula kecoh ekoran berdepan masalah gangguan bekalan air yang terputus ‘tiba-tiba’ sekitar pukul 2.45 petang tadi sehingga menyebabkan ramai yang membuat pembelian panik bagi stok minuman air mineral.

Tinjauan Kosmo! di Seberang Perai dan sebelah pulau di sini sebentar tadi mendapati ramai isi rumah dilihat menyerbu kedai dan pasar raya besar serta mini bagi mendapatkan stok minuman tersebut.

Bukan setakat itu, banyak premis dikatakan sudah mula kehabisan bekalan air mineral saiz 1.5 liter dan 5 liter ketika berita ditulis pada pukul 5 petang tadi.

Ketika ini, gangguan bekalan air melibatkan seluruh kawasan penduduk termasuk daerah Barat Daya, Timur Laut dan Seberang Perai.

Seorang suri rumah, Aminah Jusoh, 45, berkata, dia mendapat tahu mengenai masalah gangguan air itu melalui laman Facebook dan bergegas ke pasar raya terdekat dengan ditemani anak lelaki sulungnya.

“Susahla kalau betul air tak ada sampai dua ke tiga hari. Nak basuh, nak masak, nak minum …semua guna air. Tak ada air ni lebih menyeksakan daripada tak ada api (elektrik). Dahla notis amaran pun tak ada (tak diberikan),” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Bagi seorang pekerja swasta, Muhammad Radzi Samsudin, 38, dia singgah ke pasar raya itu untuk membeli air minuman dalam perjalanan pulang dari pejabatnya.

“Masa saya sampai saya tengok orang dah mulai ramai. Boleh kata setiap troli ada air mineral sama ada yang diletakkan dalam kotak atau botol,” katanya yang mendapat tahu mengenai masalah itu menerusi aplikasi Whatsapp.

Terdahulu, Kosmo! Online sebentar tadi melaporkan operasi loji rawatan air (LRA) di Sungai Dua di sini terpaksa dihenti tugas selama empat jam hari ini kerana kadar kekeruhan air mentah yang tinggi di Sungai Muda susulan banjir di Baling, Kedah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, operasi loji itu ditutup bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari tadi kerana air mentah dari Sungai Muda telah tercemar dengan selut dan pasir sehingga menyebabkan loji rawatan tidak dapat berfungsi dengan baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa pula berkata, pihaknya menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh Pulau Pinang akan dipulihkan pada pukul 12 tengah hari Khamis. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI