fbpx
TANGGUNGJAWAB dan kepentingan untuk memelihara hidupan liar menjadi antara mesej yang ingin disampaikan menerusi siri dokumentari Layar Liar.

Dokumentari hidupan liar Malaysia ‘pegun’ dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Layar Liar merupakan siri dokumentari yang mempunyai 52 episod dalam Bahasa Malaysia yang mengetengahkan tentang hidupan liar di negara ini, alam semula jadi, serta individu-individu yang melindunginya.

Penghasilan siri dokumentari itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kekayaan warisan alam semula jadi di Malaysia, selain mendidik rakyat negara ini terutamanya generasi muda tentang pemeliharaan serta pemuliharaan hidupan liar serta alam semula jadi.

Dokumentari tersebut terdiri daripada 20 episod berkaitan haiwan liar, 14 episod lokasi alam semula jadi dan 18 episod berkaitan individu-individu yang terlibat dalam pemuliharaan hidupan semula jadi.

—————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————–

“TUGAS kita di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Negara (NWRC) adalah untuk membantu merawat hidupan liar.

“Selain itu, kita juga menjalankan program kesihatan terhadap hidupan liar bagi memastikan haiwan-haiwan ini sentiasa dalam keadaan sihat,” kata Pegawai Veterinar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Dr. Zubaidah Kamarudin yang berbicara mengenai tugasnya di NWRC.

Terang Zubaidah, NWRC ditubuhkan untuk menerima haiwan-haiwan yang perlu diselamatkan kerana cedera atau berkait kes-kes penguatkuasaan.

Kongsinya, antara haiwan liar yang dirawat di situ termasuk beruang matahari.

“Beruang matahari ini yang dikenali sebagai Sang Lee diselamatkan disebabkan ia terkena jerat di Raub, Pahang.

“Kesan jerat itu menyebabkan luka padanya dan kita mencuci luka tersebut serta pastikan luka itu baik,” ujar Zubaidah.

Tambahnya, banyak haiwan liar tercedera yang mereka terima untuk dirawat dengan lazimnya melibatkan harimau belang, tapir dan beruang matahari.

Zubaidah menjelaskan, cabaran dalam menguruskan hidupan liar amat besar.

ANTARA episod-episod dalam siri dokumentari Layar Liar yang boleh didapati di laman YouTube.

“Kita tidak boleh urus haiwan liar seperti urus haiwan peliharaan lain.

“Kekangan dari segi rawatan haiwan liar ini adalah untuk memegangnya begitu sahaja. Kita tidak boleh melakukannya seorang diri sebaliknya perlu diuruskan dalam satu pasukan,” bicaranya yang berkongsi cerita itu menerusi episod bertajuk Veterinar Hidupan Liar dalam siri dokumentari Layar Liar.

Layar Liar merupakan siri dokumentari yang mempunyai 52 episod dalam bahasa Melayu yang mengetengahkan tentang hidupan liar dan alam semula jadi di negara ini serta individu-individu yang melindunginya.

Penerbit Layar Liar, Lara Ariffin berkata, penghasilan siri dokumentari itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kekayaan warisan alam semula jadi di Malaysia.

Menurut Lara, sebolehnya dia mahu mendidik rakyat negara ini terutamanya generasi muda tentang pemeliharaan serta pemuliharaan hidupan liar serta alam semula jadi.

“Saya mendapati kandungan-kandungan berkaitan hidupan liar ini dalam bahasa Melayu amat terhad.

“Jika kandungan-kandungan sebegini terhad bagaimana untuk kita hendak mendidik dan memberi maklumat tentang kepentingan untuk memuliharanya kepada kelompok masyarakat yang ramai,” ujarnya.

Tambah Lara, atas sebab itu, dia mengambil inisiatif untuk menghasilkan siri dokumentari tersebut yang boleh ditonton secara percuma di platform YouTube Layar Liar.

Dokumentari tersebut terdiri daripada 20 episod berkaitan haiwan liar, 14 episod lokasi alam semula jadi dan 18 episod berkaitan individu-individu yang terlibat dalam pemuliharaan hidupan semula jadi.


BUKAN sahaja mengetengahkan mengenai haiwan liar, siri dokumentari ini turut menampilkan kupasan tentang lokasi alam semula jadi.

Antara episod menarik termasuklah Kepupusan Badak Sumatera di Malaysia, Harimau Terancam di Malaysia, Harimau Dahan di Malaysia, Taman Negara Hutan Hujan Tropika Tertua Dunia dan Pengembaraan Royal Belum.

Lara berkata, melalui siri dokumentari ini orang ramai boleh mengetahui tentang hidupan liar yang ada di hutan kita.

“Misalnya, ramai tidak mengetahui akan kewujudan Harimau Dahan dan kami mempunyai episod khas yang menceritakan tentang haiwan tersebut.

“Sebelum ini, saya pernah bertanya kepada pelajar di sekolah tentang haiwan apa yang ada di dalam hutan di negara mereka. Ada antara mereka menjawab hutan kita didiami haiwan seperti kuda belang dan zirafah. Ada pelajar yang tidak mengetahui hidupan liar yang ada di dalam hutan kita,” jelasnya.

Lara berharap melalui dokumentari Layar Liar, penonton terutamanya generasi muda menjadi jelas apa yang ada di dalam hutan kita.

Lara berpendapat pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah harus dididik tentang pemeliharaan hidupan liar, sama seperti kanak-kanak di Australia yang mana setiap kanak-kanak di negara itu mengetahui topik tersebut.

Dia juga menyedari bahawa terdapat kekurangan kesedaran daripada rakyat Malaysia tentang aspek warisan dan perlindungan hidupan liar di negara mereka sendiri.

“Realitinya ramai rakyat Malaysia tidak tahu banyak tentang perlindungan hidupan liar, dan jika mereka tidak tahu bagaimana mereka akan menyayangi dan melindungi?

“Seperti pepatah Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’, oleh itu kami mahu semua rakyat Malaysia mengenali akan pihak yang melindungi hidupan liar ini. Apabila kita sudah kenal dan cinta kita akan mengambil tanggungjawab untuk turut sama menjaganya,” katanya.

Bagi menghasilkan dokumentari itu juga, Lara menjelaskan Yayasan Sime Darby juga telah memberi bantuan sebahagian dana untuk dirinya menjayakan projek tersebut.

Selain itu, Lara turut mendapat kerjasama daripada Perhilitan dan juga rakan-rakan berkaitan dalam mendapatkan rakaman hidupan liar.

Antara cabaran untuk menghasilkan dokumentari itu adalah untuk mendapatkan rakaman hidupan liar.


HARIMAU dahan antara spesies haiwan liar yang mendiami hutan Malaysia.

“Kami tidak boleh mengarahkan haiwan-haiwan ini untuk berlakon bagi mendapatkan rakaman tersebut.

“Tetapi kami bernasib baik kami mendapat rakaman-rakaman ini daripada pihak Perhilitan dan juga rakan-rakan daripada hasil kerja lapangan mereka,” ujarnya.

Lara mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan siri dokumentari tersebut iaitu bermula Mac 2021 dan episod terakhir berjudul Kepupusan Badak Sumatera di Malaysia baru sahaja ditayangkan.

Lara berkata, episod itu, sangat istimewa kerana menyiarkan tayangan berkaitan badak Sumatera yang telah pupus.

“Apa yang saya hendak sampaikan di sini, kita sebagai khalifah di muka bumi harus bertanggungjawab untuk memulihara hidupan liar ini.

“Jika kita tidak berbuat demikian tidak mustahil beberapa spesies hidupan liar lain akan mengalami nasib yang sama seperti badak Sumatera ini,” tegasnya.

Berbicara tentang perancangan masa hadapan, Lara menjelaskan dia dia ingin menghasilkan dokumentari Layar Liar untuk musim kedua.

ZUBAIDAH menerangkan mengenai haiwan-haiwan yang dirawat dan tugas-tugasnya di NWRC.

“Untuk dokumentari sebelum ini, liputannya di kawasan Semenanjung Malaysia sahaja disebabkan kekangan pandemik Covid-19.

“Oleh itu, untuk siri kedua kami merancang untuk menerokai kawasan di Sabah dan Sarawak. Kami percaya di situ menyimpan banyak cerita menarik tentang hidupan liar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN