fbpx
Shahrul Zaman (dua kanan) bertemu Amir Daniel  (dua kiri) dan S. Kamini (kiri) sewaktu melawat kem latihan pasukan judo negara ke Sukan Komanwel di Velodrom Nasional, Nilai di sini hari ini.

Amir Daniel mahu ulang kejayaan SPM di Sukan Komanwel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI – Kejayaan meraih keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 membakar semangat atlet judo, Amir Daniel Abdul Majeed, 18, untuk bertarung dalam Sukan Komanwel 2022 Birmingham pada hujung bulan ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi 2022 berkata, sebelum pandemik Covid-19, dia berjanji kepada jurulatih untuk memperoleh 8A dalam SPM.

“Syukur saya telah mencapainya. Kini sudah tiba masa untuk meraih kejayaan dalam judo pula. Ia menjadi motivasi buat diri saya dalam mengimbangi sukan dan akademik,” katanya.

Dia berkata demikian selepas lawatan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya ke kem latihan pasukan judo negara di Velodrom Nasional di sini semalam.

Menurutnya, ini merupakakn kali pertama dia menyertai acara judo di Sukan Komanwel untuk kategori lelaki 73 kilogram (kg) bersama atlet wanita, S. Kamini Sri, 25, yang bertanding bagi kategori wanita 57kg.

“Rasa gementar ada tetapi dengan sokongan dan bimbingan jurulatih (Md. Nashriq Md. Nassier) dan rakan-rakan, kami yakin mampu mempamerkan aksi terbaik,” katanya yang mensasarkan penyertaan hingga ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, Amir Daniel memberitahu hasrat untuk menyambung pelajaran ke Jepun yang terkenal dengan judo peringkat tinggi.

“Kami harap hasrat itu tercapai supaya dia boleh belajar dan mengembangkan bakat serta keupayaan judo semasa belajar di negara tersebut,” katanya.

Beliau berkata, negara berharap kedua-dua atlet judo itu akan memberikan aksi yang terbaik apabila bersaing dengan atlet dari negara yang tidak pernah mereka berdepan.

“Keinginan untuk meraih pingat bukan mudah tetapi tidak mustahil kerana sukan judo bersifat subjektif kerana ada juri yang mengira markah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR