fbpx

Banjir Baling: CAP bimbang kejadian berulang jika projek musang king diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Batang pokok yang dihanyutkan kepala air dalam kejadian banjir di Kampung Iboi, Baling semalam. /FOTO SHAHIR NOORDIN

BALING – Kegagalan kerajaan menangani masalah yang disyaki berpunca daripada aktiviti pembalakan dan projek durian musang king di Gunung Inas di sini sehingga kini mengakibatkan berlakunya bencana banjir lumpur akibat kepala air semalam.

Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya beberapa kali menggesa kerajaan negeri Kedah, Jabatan Hutan dan Pejabat Daerah Baling mengambil tindakan bagi mengatasi masalah tersebut sebelum ini.

“CAP amat kecewa dengan kejadian terbaharu yang menyebabkan ribuan penduduk kampung kampung menerima akibatnya.

“Dalam kejadian itu bukan sahaja seluruh kampung tersebut dilanda masalah berkenaan, malah beberapa rumah musnah dihanyutkan air deras dari gunung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, tinjauan CAP sebelum ini mendapati penduduk yang terlibat bukan sahaja terpaksa menggunakan bekalan air tercemar dengan lumpur dari Gunung Inas tetapi juga terjejas sumber pendapatan kerana banyak tanah pertanian di kampung mereka tidak boleh diusahakan akibat ancaman lumpur.

“Sehubungan itu CAP menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera dan berkesan agar kejadian tersebut tidak berulang.

“Selain membantu mangsa yang terlibat dengan masalah ini membina semula rumah mereka serta membayar pampasan yang setimpal dengan kerugian yang dialami akibat kemusnahan harta benda, CAP turut meminta pihak kerajaan memulihkan tanah pertanian yang terancam kerana ia merupakan sumber pendapatan utama penduduk-penduduk di sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI