fbpx
Terdapat pesakit kanser termakan harapan palsu bomoh.-GAMBAR HIASAN

Lari dari doktor, jumpa bomoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wa­nita sanggup menjual rumahnya bernilai ratusan ribu ringgit semata-mata mahu menampung kos perubatan termasuk membayar wang kepada bomoh yang kononnya mampu menyembuhkan penyakit kanser otak yang dialaminya.

Wanita berusia 60-an yang tinggal di Kedah itu antara sebahagian pesakit kanser yang ‘melarikan diri’ daripada mendapatkan rawatan moden melalui doktor dan berjumpa bomoh selepas mereka terpedaya dengan harapan palsu yang diberikan.

Pengerusi Cancer Survivor Malaysia, Zuraini Kamal berkata, beliau telah bertemu wanita tersebut yang menjadi mangsa penipuan seorang bomoh ketika menyampaikan bantuan kepadanya baru-baru ini.

Katanya, mangsa menceritakan, dia tidak boleh berjalan akibat kanser otak yang dialaminya.

“Wanita terbabit tidak mendapatkan rawatan di hospital, sebaliknya berjumpa bomoh yang mendakwa kaki mangsa telah dipegang jin.

“Wanita itu percaya bulat-bulat dan bomoh terbabit mengarahkan pesakit mendapatkan kain kafan orang mati, tetapi gagal. Bomoh itu kemudian memaklumkan pula dia ada kain kafan itu, namun pesakit perlu membayar pada harga tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Zuraini berkata, selepas membuat sejumlah bayaran, wanita itu merasakan penyakit yang dialaminya itu belum sembuh.

Menurutnya, pesakit terbabit kemudian mendapat rawatan di hospital.

“Malangnya apabila tiba di hospital, pembedahan tidak boleh dilakukan berikutan saiz tumor telah membesar sehingga menekan saraf mata.

“Dia cuma menjalani radiote­rapi dan kini sudah boleh berjalan perlahan-lahan. Akibat kanser itu, mata se­belahnya juga buta,” ujarnya.

Zuraini memberitahu, kekura­ngan ilmu pengetahuan mengenai kanser dalam kalangan masyarakat menyebabkan pesakit kanser ‘lari’ daripada mendapatkan ra­wa­tan moden dan memilih rawatan alternatif.

Katanya, pesakit kanser ber­kemungkinan tidak faham yang sebenarnya kanser boleh dirawat melalui rawatan moden di hospital-hospital terpilih.

“Kesedaran terhadap kanser masih rendah terutama dalam kalangan penduduk di luar bandar

“Rawatan kanser sudah tentu mengambil masa panjang dan jika ditangguh, kanser akan bertindak agresif dan seterusnya merebak ke organ lain. Pada pe­ringkat awal memang tidak sakit, jadi orang akan ambil mudah,” katanya.

Menurutnya, pengesanan awal perlu dilakukan dengan menjalani ujian darah serta melalui pelbagai lagi pemeriksaan daripada doktor termasuk Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Ujarnya, kanser juga sering digambarkan dengan kematian menyebabkan pesakit takut dan individu lain pula akan cuba mengambil kesempatan menjual produk dan memberi harapan palsu termasuk bertemu bomoh.

“Doktor yang merawat memang tidak pernah berjanji pesakit akan sembuh, tetapi mereka akan memberikan rawatan sepatutnya. Bagaimanapun, penjual produk atau bomoh pula berjanji pesakit akan sembuh selain menipu serta memberi harapan palsu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN