fbpx
CHONG Wei (kanan) menyerahkan raketnya kepada Tze Yong selepas tamat program 'Yonex Legend's Vision' sempena saingan Terbuka Malaysia di Axiata Arena hari ini. GAMBAR - FARIZ RUSADIO

Tze Yong ada potensi, boleh berjaya – Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menaruh harapan tinggi untuk melihat pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong berjaya di peringkat tertinggi pada masa depan.

Bekas pemain No.1 dunia itu berharap Tze Yong, 22, mampu menangani tekanan dan berjuang untuk diri sendiri selepas merasai ‘bahang’ saingan Terbuka Malaysia ketika ini.

Disebabkan itu, Chong Wei berharap pemberian raketnya mampu meniup semangat Tze Yong untuk meraih keputusan cemerlang selepas dipilih menggantikan Lee Zii Jia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai ini.

“Dia memang ada potensi dan saya percaya dia pun dah tahu apa kekurangannya. Terbuka Malaysia mungkin sudah tunjukkan tahap dan kecergasannya di mana sekarang.

“Dia baru main satu perlawanan, kaki sudah kejang. Kalau menang, dia ada empat pusingan lagi. Bukan mudah tetapi saya harap dia boleh berjuang untuk diri sendiri.

“Saya harap dia dapat tangani tekanan dan berjaya di masa depan. Tak mudah tetapi saya rasa bukan satu orang tetapi semua orang nak dia dapat keputusan bagus di Sukan Komanwel nanti,” katanya.

Chong Wei menyerahkan raketnya kepada pemain No.48 dunia itu selepas tamat perlawanan pertunjukkan legenda badminton dunia ‘Yonex Legend’s Vision’ di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Selain Chong Wei, tiga lagi legenda badminton dunia turut dijemput beraksi pada perlawanan pertunjukan itu iaitu Taufik Hidayat (Indonesia), Peter Gade (Denmark) dan Lee Yong-dae (Korea Selatan).

“Ini satu memori yang bagus buat Tze Yong. Dia ialah pemain perseorangan lelaki pertama buat BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Saya beri raket terakhir saya, kasi ‘ong’ untuk dia,” jelas Chong Wei.

Sebagai rekod, Tze Yong terkandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas tewas 16-21, 23-21, 18-21 dalam tempoh satu jam 27 minit kepada pemain ranking ke-25 dunia China, Lu Guangzu. – KOSMO! ONLINE

POPULAR