fbpx

Saranan kurangkan makan telur pendapat peribadi – KPDNHEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (dua dari kiri) memeriksa kenderaan asing di ICQS Padang Besar, Perlis hari ini.

PADANG BESAR – Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar menyarankan orang ramai mengurangkan pengambilan telur disebabkan kenaikan harga telur merupakan pendapat peribadi beliau.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, Norena mungkin mempunyai pendapat sendiri, namun cara penyampaiannya tidak dapat diterima oleh orang lain.

Menurut beliau, kenaikan harga barang tersebut telah dibincangkan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan pengusaha selain mengambil kira sensitiviti rakyat.

“Kerajaan telah masuk campur dengan memperkenalkan subsidi pada telur. Jika tidak harganya lebih tinggi lagi.

“Dalam hal ini terpulang kepada pengguna untuk memilih telur mana yang mahu dibeli kerana terdapat banyak gred iaitu AA, A, B, C, D, E,” katanya kepada pemberita katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar di sini hari ini.

Norena menerima kritikan netizen ekoran saranannya supaya orang ramai mengurangkan pengambilan telur berikutan kenaikan harga makanan berkenaan.

Terdahulu, Azman berkata, KPDNHEP giat memantau rantaian bekalan barang kawalan dan bersubsidi bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab apabila berlaku penyelewengan.

Kata beliau, pemeriksaan barangan seperti minyak masak, tepung gandum dan gula dilakukan di semua peringkat bermula dari kilang, pemborong hingga peruncit.

Tambah beliau, pengauditan juga akan dibuat bagi mengenal pasti penyelewengan berlaku di peringkat mana.

“Barangan bersubsidi mempunyai kuota dan sekiranya sesetengah kawasan didapati mempunyai permintaan melebihi kuota, maka siasatan akan dilakukan.

“Kita akan lihat sama ada barang tersebut sampai kepada peruncit atau tidak dan sekiranya penyelewengan dikesan, tindakan akan diambil ke atas pihak terlibat dalam rantaian tersebut,” katanya.

Kata beliau, sebanyak 115 kes penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi berlaku di sempadan negara melibatkan nilai rampasan RM10.19 juta dari awal tahun hingga 31 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI