fbpx

Kerajaan wujud medium sebar maklumat mengenai harga barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar (kanan) meninjau harga dan bekalan ayam proses yang dijual oleh peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu hari ini. FOTO ROHANA MOHD.NAWI

KOTA BHARU – Kerajaan akan mewujudkan pelbagai medium dalam usaha untuk memberi kemudahan kepada masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan kenaikan harga barang dan inflasi ketika ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sedang meneliti kaedah komunikasi yang lebih berkesan untuk tujuan tersebut termasuk mewujudkan laman web, talian pengaduan atau rangkaian penguatkuasaan.

Menurutnya yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, pihaknya sudah menerima cadangan untuk memudahkan seramai 1,800 anggota komuniti Keluarga Malaysia dapat menyemak keadaan kenaikan harga di peringkat akar umbi di seluruh negara.

“Saya dapati ada beberapa pengguna telah menyuarakan pandangan mereka mengenai kurang mendapat maklumat mengenai harga semasa barangan seperti ayam, telor dan minyak masak semasa melakukan tinjauan di beberapa buah pasar.

“Sehubungan itu, kita akan mengadakan perbincangan untuk mewujudkan beberapa medium seperti laman web atau talian hotline dalam mesyuarat jawatankuasa yang akan datang. Ia bertujuan supaya masyarakat boleh melihat perkara yang dilakukan kerajaan hari ini selain mereka dapat mengajukan pendapat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan harga barangan keperluan seperti ayam, telur selain minyak masak di Pasar Besar Siti Khadijah dan sebuah sebuah pasar raya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, tindakan kerajaan untuk melakukan pemulihan dengan memberikan subsidi dan menetapkan harga siling ayam dilihat memberi kesan yang baik.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, bekalan ayam ketika ini mencukupi dengan rata-rata peniaga mematuhi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kaedah penetapan harga siling itu mampu menjadikan harga ayam dapat kembali seperti biasa. Kita harap situasi ini akan berkekalan sementara kita dapat menambah baik beberapa aspek dari masa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI