fbpx

MAFI kenal pasti loji benih padi bermasalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK Muhammad Zawawi (dua dari kiri) ketika lawatan di Pusat Pengeluaran Benih Padi di Pertubuhan Peladang kawasan Lahar Bubu di sini hari ini. IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berusaha mengenal pasti secara lebih dekat loji-loji pengeluaran benih padi bermasalah di negara ini sama ada yang dikendalikan agensi kerajaan ataupun swasta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ini bagi memastikan masalah pengeluaran benih padi angin atau padi tidak berkualiti yang membelenggu petani sebelum ini tidak lagi berlarutan.

“Selain itu, ada juga loji-loji (pengeluaran benih padi) yang saya difahamkan tak ada pun kawasan penanaman padi khusus untuk benih atau kita panggil ladang benih tapi tiba-tiba mengeluarkan (benih) padi.

“Benda ini kita akan cuba lihat, pandang dan selesaikan. Kita akan ‘ajak’ pemilik loji benih padi ini supaya menjadi lebih bertanggungjawab dalam usaha untuk mengeluarkan benih padi yang terbaik di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pengeluaran Benih Padi di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu, di Kepala Batas di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 640 peladang terlibat dengan program Insentif Benih Padi Sah anjuran MAFI dengan kerjasama LPP yang berlangsung selama tiga tahun bermula tahun lepas.

Katanya, program itu meliputi kawasan ladang benih keseluruhan seluas 1,550 hektar yang melibatkan PPK di beberapa negeri termasuk Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

“Untuk pengetahuan, PPK Lahar Bubu merupakan salah satu daripada pengeluar benih padi sah dengan kuota pembekalan benih padi sebanyak 5,000 metrik tan setahun atau kira-kira 250,000 beg,” katanya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI