fbpx

Dipukul, anak hampir diculik, Lufya sedih dituduh reka cerita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lufya bersama anaknya (gambar kanan)

PETALING JAYA – Susulan insiden anak perempuannya hampir diculik dan dirinya sendiri mengalami kecederaan akibat dipukul penyerang dalam satu kejadian beberapa hari lalu, pelakon dan penyanyi Lufya Omar dituduh sengaja ingin menarik perhatian ramai.

Lebih teruk, ada yang menuduh dia sengaja mereka cerita untuk mempromosikan drama terbaharu lakonannya gara-gara didakwa lewat membuat laporan polis selepas diserang penculik terbabit.

Terkejut dan kecewa dengan semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, Lufya, 38, menerusi beberapa hantaran dalam InstaStory miliknya menjelaskan punca mengapa dia lewat melaporkan kejadian berlaku kepada polis.

“Laporan telah dibuat. Memang agak lambat. Sebab setahu saya, kalau kita diserang dan doktor pun ada buat pemeriksaan, rekod kecederaan yang dialami secara automatik akan dilaporkan kepada pihak polis. Polis sendiri akan datang ke hospital.

“Perkara itu tak berlaku. Mungkinkah sebab saya pergi hospital swasta? Saya pun tak tahu hal ini,” katanya.

Tambah pelakon itu lagi, selepas kejadian serangan tersebut, dia bergegas ke hospital kerana mementingkan pemeriksaan daripada doktor disebabkan kepalanya dihentak dengan kuat oleh pelaku.

“Kalau ada hentakan kuat di kepala (pukul pakai kayu), dah tentu saya pentingkan rawatan terlebih dahulu. Kalau ada retakan atau darah beku, sangatlah bahaya.

“Alhamdulillah selepas buat imbasan otak, tak ada yang serius. Semua proses itu ambil masa, nak tunggu insurans lagi. Orang boleh bercakap yang bukan-bukan. Tak semua orang faham, yang pernah mengalami boleh fikir,” katanya.

Jelas Lufya lagi, apa yang dikongsikannya dalam media sosial untuk mengelak perkara sama berulang di kawasan kejiranannya.

“Boleh bayangkan tak? Saya kongsi bukan nak tarik perhatian. Niat saya cuma tak nak benda sama jadi lagi di kawasan perumahan.

“Sedih kalau perkara ini berlaku terhadap orang lain dan anak mereka diculik disebabkan saya tak beri amaran dan kongsi apa yang berlaku. Dah kongsi, cakap macam ini pula? Ada lagi teruk fitnah cakap saya buat cerita sebab nak promosi drama,” luahnya.

Pada masa sama, Lufya turut memberi respons terhadap laporan media yang mendapatkan komen daripada bekas suaminya, Che Muhammad Hafiz Che Baharum apabila lelaki itu dituduh menjadi dalang di sebalik kejadian serangan tersebut.

Kata Lufya, jangan melulu menyebarkan fitnah terhadap bekas suaminya itu kerana biarpun sudah tidak berjodoh, namun langsung tiada dendam antara mereka.

“Lagi satu, biarlah pihak polis yang buat siasatan. Janganlah memfitnah melulu. Kami okey insya-Allah. Tiada jodoh tak semestinya ada dendam antara kita,” ujarnya lagi.

Beberapa hari lalu, Lufya menerusi Instagramnya mendedahkan dia ditimpa insiden mencemaskan apabila dipukul seorang lelaki yang cuba menculik anaknya, Laana Haura di sebuah taman permainan di Kota Damansara, Selangor.

Dalam kejadian tersebut, dia dipukul dengan sebatang kayu pada kepala selain mengalami lebam pada lengan dan wajahnya cedera selepas bergelut dengan penyerang itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI